PUTRAJAYA: Hari ini Mahkamah Rayuan di sini akan membuat keputusan terhadap rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta atas tiga kesalahan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Sekiranya tidak menyebelahinya, Syed Saddiq masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.
Pihak-pihak terlibat dalam rayuan itu telah mengemukakan hujah masing-masing di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin pada 17 April lalu.
Pada prosiding itu, Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta, selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Jika gagal membayar denda, Syed Saddiq boleh dipenjara empat tahun lagi.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 28 November 2024 menyatakan, tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan kesalahan pecah amanah.
Mahkamah turut berpendapat tindakan tertuduh menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan, tanpa disimpan di suatu tempat yang selamat iaitu di Pejabat Armada menimbulkan satu inferens niat jahat (bad faith). – UTUSAN










