Suri rumah rugi RM521,450 gara-gara skim pelaburan tak wujud

Suri rumah rugi RM521,450 gara-gara skim pelaburan tak wujud

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hasrat seorang suri rumah untuk menggandakan simpanannya dalam masa yang singkat bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia kerugian lebih RM500,000 gara-gara terpedaya dengan satu skim pelaburan tidak wujud yang menggunakan nama ‘Khazanah Bank Negara’.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa yang berusia 57 tahun itu tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara semalam selepas menyedari ditipu susulan gagal mendapatkan semula keuntungan seperti yang dijanjikan.

Kata Hamzah, siasatan awal mendapati, mangsa telah diperkenalkan oleh jirannya kepada seorang lagi wanita iaitu suspek sekitar tahun 2022 yang mendakwa pelaburan ‘Khazanah Bank Negara’ menawarkan pulangan sekali ganda dalam tempoh sebulan.

“Tertarik dengan keuntungan lumayan yang dijanjikan, mangsa mula membuat pembayaran bermula 4 Mac 2022 hingga 22 Januari 2024 dalam 51 transaksi berasingan ke dalam lima akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM521,450.

“Dia bagaimanapun menyedari ditipu apabila suspek memberikan pelbagai alasan seperti pelaburan belum matang dan wang lebih ‘selamat’ disimpan di Bank Negara Malaysia ketika cuba mengeluarkan keuntungan yang didakwa hasil daripada pelaburan terbabit.

“Selain itu, mangsa turut diminta untuk membuat bayaran tambahan seperti perlu membayar caj urusan Bank Negara dan yuran guaman bagi memproses semula pembayaran modal serta keuntungan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelas Hamzah, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Dalam hal ini, polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang bentuk pelaburan yang tidak diiktiraf oleh agensi seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN