Warga emas berputih mata, duit RM4.75 juta lesap akibat scam pelaburan - Utusan Malaysia

Warga emas berputih mata, duit RM4.75 juta lesap akibat scam pelaburan

Pelaburan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang warga emas berputih mata wang simpanan berjumlah RM4.75 juta lesap selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud pada pertengahan Mac lalu.

Penipuan itu disedari mangsa disebalik keuntungan sehingga RM11.3 juta dikatakan diperolehinya ketika hendak membuat pengeluaran wang daripada akaun Foreign Direct Investment (FDI) Hub.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pengadu berusia 63 tahun merupakan bekas pekerja sebuah syarikat swasta mendakwa dijanjikan keuntungan 11 hingga 13 peratus daripada nilai pelaburan.

Menurutnya, pengadu mengetahui skim tersebut melalui media sosial sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp dan membuka akaun FDI Hub untuk melabur dalam pasaran saham tempatan.

“Semakin lama pengadu membuat pelaburan, semakin meningkat kadar peratusan keuntungan diperolehi.

“Pengadu tertarik dengan pelaburan yang menguntungkan tersebut. Seperti mana yang diarahkan pengadu telah membuka akaun dengan FDI Hub dan membuat 42 transaksi sehingga jumlah pembayaran sebanyak RM 4,749,214.00,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, pengadu menyedari ditipu apabila wang yang dikeluarkan daripada akaun tersebut didakwa tidak masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

Justeru, Mohd. Iqbal memaklumkan polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga sepuluh tahun, sebat dan juga hendaklah dikenakan denda.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan saham, cryptocurrency atau sebarang pelaburan yang ditawarkan secara dalam talian melalui media sosial, yang kononnya menawarkan pulangan keuntungan yang besar dalam masa yang singkat.

“Orang ramai diingatkan agar membuat pelaburan di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan membuat semakan di laman web rasminya bagi menentukan sama ada sesuatu syarikat pelaburan tersebut berdaftar ataupun tidak.

“Orang ramai dinasihatkan agar segera menghubungi balai polis berdekatan atau talian hotline PDRM untuk membuat pertanyaan jika mendapati ada atau tawaran pelaburan dalam talian yang mencurigakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×