SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) berhubung pemakaian fatwa terhadap pertubuhan itu.
Baginda menzahirkan dukacita dengan keputusan tersebut yang menyentuh fatwa tersebut tidak terpakai kepada pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, Sultan Sharafuddin menegaskan penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan mereka.
“Supaya perkataan Islam itu tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, Sultan Selangor menzahirkan pendapat sedemikian selepas pendirian MAIS berhubung keputusan mahkamah itu disembah maklum kepada baginda.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor mengatakan SIS Forum sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap pertubuhan itu.
Bagaimanapun, fatwa itu masih sah dan terpakai kepada mana-mana individu yang bertanggungjawab atas sebarang tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengannya.
Malah, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan berkenaan tidak membatalkan keseluruhan fatwa.
Tambah Salehuddin, bagaimanapun MAIS menghormati keputusan mahkamah walaupun tidak bersependapat dengan sebahagian daripada keputusan tersebut kerana ia secara tidak langsung mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa berkaitan persoalan hukum syarak.
“MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.
“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu MAIS bersetuju dan menyokong penuh pendekatan penghakiman bertentangan daripada Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang menyatakan bidang kuasa memutuskan pertikaian berhubung dengan fatwa itu adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan pendekatan perkara (subject matter approach).
“MAIS memberi jaminan bahawa MAIS bersama-sama dengan badan penguatkuasa agama di Negeri Selangor akan sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam ini dapat dibanteras.
“MAIS juga menggesa dan menasihatkan masyarakat Islam supaya tidak terlibat atau memberikan sokongan terhadap sebarang program berkaitan dengan fahaman yang difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam termasuk fahaman liberalisme dan pluralisme agama,” jelasnya.
Katanya lagi, MAIS menegaskan komitmen untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, negeri dan majlis agama Islam negeri-negeri serta sokongan institusi diraja bagi memperkasa perundangan sedia ada. – UTUSAN