Status konsert Mawi masih jadi tanda tanya - Utusan Malaysia

Status konsert Mawi masih jadi tanda tanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya tak tahu, kena tanya penganjur.”

Demikian maklum balas penyanyi, Asmawi Ani atau Mawi mengenai status penganjuran konsert Tsumawi 20th Mawi World Live in KL yang masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

Katanya, pertanyaan mengenai konsert itu sewajarnya diajukan kepada penganjur iaitu Showtag Asia yang lebih mengetahui sama ada konsert berkenaan bakal diadakan atau tidak.

“Saya tak boleh ulas mengenai status konsert, lebih elok penganjur yang jelaskan. Status akhir yang dimaklumkan adalah ditunda sehingga Julai tahun ini. Namun sampai hari ini saya tidak dimaklumkan tentang perkembangannya.

“Sebab itu saya tak boleh komen kerana yang lebih layak jelaskan adalah penganjur,” katanya.

Mawi berkata demikian ketika ditemui sempena majlis Game Changers bertempat di UKM, semalam.

Showtag Asia sekitar Disember tahun lepas, mengumumkan penangguhan konsert tersebut sehingga Julai tahun ini. 

Penganjur menerusi Instagram memaklumkan konsert tersebut yang awalnya dijadualkan pada 25 Januari lepas itu, ditangguhkan bagi menghormati mangsa banjir di negeri-negeri terkesan Disember lalu.

Dalam masa sama Mawi mengambil pendekatan untuk tidak melayan sebarang telahan liar mengenai status konsert tersebut termasuk andaian palsu kononnya ia dibatalkan atas faktor sambutan yang tidak memberangsangkan.

“Terpulang, saya sudah masak berdepan dengannya (andaian palsu),” katanya ringkas.

Sementara itu, Mawi juga berlapang dada untuk menerima apa sahaja ketetapan mengenai penganjuran konsert berkenaan.

“Perkara yang kita rancang tak semestinya menjadi. Hidup kita pun begitu.Jadi saya tak sedih apatah lagi kecewa dengan keadaan ini. Saya ikut sahaja apa yang ditentukan nanti. Baik atau tidak, Alhamdulillah. Terima sahaja,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN