Sistem e-penempatan doktor tangguh lagi

Sistem e-penempatan doktor tangguh lagi

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib 2,245 pegawai perubatan kontrak seluruh negara masih samar apabila sistem e-penempatan yang dijadualkan dibuka akhir bulan lalu ditangguhkan lagi selepas bebe rapa kali tertangguh sejak Februari 2025.

Pembentangan cadangan akhir pelaksanaan sistem itu akan dilakukan Rabu ini oleh tiga bahagian utama Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu Bahagian Kesihatan Digital, Bahagian Pengurusan Maklumat dan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia.

Pelaksanaan sistem itu akan dimulakan secara berperingkat, bermula dengan pegawai perubatan (MO) diikuti pegawai perubatan siswazah (HO).

Bagaimanapun, tarikh rasmi pelancaran masih belum ditetapkan kerana kementerian mahu memastikan tiada lagi kelemahan teknikal seperti yang berlaku sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sendiri akan meneliti pembentangan itu bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Mereka akan membentangkan cadangan kepada saya pada Selasa ini (3 Jun). Saya sendiri akan meneliti pembentangan itu bagi memastikan tiada lagi sebarang kelemahan dan masalah teknikal sebelum e-penempatan dilancarkan.

“Selepas diluluskan, sistem ini akan dilancarkan secara berperingkat bermula dengan MO, diikuti HO. Insya-Allah, kita jangka ia dapat dibuka dalam bulan Jun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini, melaporkan pelaksanaan sistem tersebut dijadualkan dibuka semula selewat-lewatnya akhir Mei, namun ditangguhkan ekoran beberapa gangguan teknikal.

Antaranya pada 27 Februari lalu, sistem mengalami ralat yang menjejaskan proses pemilihan penempatan 2,245 pegawai perubatan Gred UD10.

Lebih memburukkan keadaan, proses e-penempatan dibatalkan pada saat akhir pada 16 Mac tanpa penjelasan terperinci, hanya sehari sebelum tarikh pembukaan semula.

Pembatalan itu disampaikan melalui e-mel dan sistem gagal diakses walaupun sudah dijadualkan dibuka pada 17 Mac.

Masalah teknikal yang berulang bukan sahaja menganiaya doktor kontrak yang sepatutnya menerima lantikan tetap pada 25 Mac, malah turut mengganggu operasi fasiliti kesihatan awam, terutama di kawasan luar bandar yang sedang berdepan kekurangan petugas.

Sementara itu, jurucakap Hartal Doktor Kontrak menyifatkan kenyataan Menteri Kesihatan itu sebagai tidak meyakinkan kerana beliau sepatutnya dapat memberikan garis masa yang lebih jelas, memandangkan pelaksanaan sistem e-penempatan berada sepenuhnya di bawah kawalan kementeriannya.

“Beliau sepatutnya mampu memberikan tarikh lebih tepat memandangkan pelaksanaan sistem e-penempatan ini berada sepenuhnya di bawah kawalan kementeriannya.

“Kelewatan pembukaan semula sistem e-penempatan bukan sahaja boleh menjejaskan pelantikan tetap pegawai perubatan, malah menyukarkan perancangan jabatan dan hospital yang bakal menerima mereka,” katanya.

Justeru itu, pihaknya menggesa KKM agar lebih telus dan memberikan penjelasan bagi memastikan proses penempatan berjalan lancar serta tidak menjejaskan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di fasiliti awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN