KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas usaha gigih dalam menguruskan ekonomi dan pembangunan negara.
Seri Paduka bertitah, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini merupakan satu bukti nyata kemampuan kepimpinan negara dalam memainkan peranan aktif di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan yang telah berusaha keras dalam mengurus ekonomi dan pembangunan negara.
“Baru-baru ini, kerajaan telah berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN dengan sempurna. Ini bukti keupayaan kepimpinan negara dalam mengeratkan kerjasama serantau dan antarabangsa,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 di Istana Negara, hari ini.
Seri Paduka bertitah, walaupun masih wujud pandangan skeptikal terhadap kemampuan Malaysia, semangat kerjasama serta dedikasi penjawat awam telah membolehkan pelbagai cabaran berjaya diatasi.
“Walaupun ada pihak yang memandang rendah keupayaan Malaysia, namun dengan usaha gigih dan semangat kerjasama, terutamanya oleh penjawat awam, segala cabaran dan rintangan telah berjaya diharungi,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa syukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Negara pada tahun kedua pemerintahan Seri Paduka.
“Tahun ini adalah tahun kedua saya sebagai Ketua Negara. Saya bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memikul tugas dan amanah yang diberikan,” titah Seri Paduka.
Sultan Ibrahim juga menzahirkan ucapan terima kasih atas perutusan tahniah yang diterima daripada Perdana Menteri serta wakil-wakil diplomatik asing di negara ini.
“Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas perutusan tahniah oleh Perdana Menteri, serta wakil kepada duta-duta dan pesuruhjaya tinggi asing di Malaysia, sebentar tadi,” titah Sultan Ibrahim.-UTUSAN