Sharifah Khasif dipilih Tokoh Maal Hijrah negeri Perak - Utusan Malaysia

Sharifah Khasif dipilih Tokoh Maal Hijrah negeri Perak

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1447 Hijrah kepada Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman pada majlis di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Qariah negara, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman dipilih menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1447 Hijrah.

Sharifah Khasif, 43, yang juga Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa dan Qariah Terbaik Keseluruhan 2009 menerima anugerah tersebut yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di Casuarina@Meru di sini hari ini.

Anugerah tersebut membolehkan personaliti agama itu menerima wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil yang disampaikan baginda.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Allahyarham Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor yang merupakan ibu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Penganugerahan itu membolehkan penerima menerima wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil.

Selain itu, beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Saidina Ali kepada (Muhammad Firdaus Mohamad Suki), Anugerah Siti Khadijah (Dr Robiah Kulop Hamzah) dan Ikon Asnaf (Norzita Hamid).

Anugerah Al-Quba Pengurusan Masjid Terbaik pula diterima Masjid Nurussalam, Batu 4, Jalan Kuala Rui, Gerik manakala Anugerah Al-Baqi Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik pula disampaikan kepada Tanah Perkuburan Masjid Asy-Syakirin, Parit Buntar.

Anugerah tersebut membolehkan lima penerima menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, sijil dan plak.

Pada majlis sama, hafizah al-Quran, Rafaa Ahmad Muneer dari Alor Pongsu, Bagan Serai pula menerima Anugerah Khas dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, komputer riba sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), plak dan sijil.

Keberangkatan baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di Casuarina@Meru itu turut diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN