IPOH: Tokoh Maal Hijrah Perak 1447H, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd. Badiuzzaman, 43, mendedikasikan anugerah yang diterimanya kepada Allahyarham bapa, Syed Mohd. Badiuzzaman Syed Lope Al-Yahya.
Sharifah Khasif berkata, Allahyarham bapanya itu merupakan tulang belakang utamanya dalam perjalanan mendalami Al-Quran.
“Anugerah ini untuk ayahanda saya, kalau dia masih ada pasti dia yang paling (gembira). Saya masih ingat pesanan Allahyarham kalau kita jadi ahli al-Quran, insya-Allah kita akan dapat apa yang kita mahukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di Casuarina@Meru, di sini semalam.
Pada majlis itu, beliau menerima hadiah yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berupa wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil.
Menurut johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009 itu, beliau berasa amat terharu dengan pengiktirafan itu yang sama sekali tidak dijangka.
Namun katanya, anugerah yang diterima itu dianggap sebagai kurniaan Allah hasil daripada penghayatan serta kecintaan dirinya terhadap al-Quran.
“Saya pernah menerima pelbagai anugerah namun belum ada yang sangat menyentuh dan betul-betul dapat dirasai dari hati. Anugerah ini adalah satu pengiktirafan supaya orang nampak betapa besarnya keagungan al-Quran.
“Saya bukanlah orang yang hebat, saya hanya pencinta al-Quran tapi kerana al-Quran tidak ada yang mustahil bagi Allah. Al-Quran yang memberi jalan kepada saya bukan sahaja untuk melahirkan generasi al-Quran tetapi untuk pergi lebih jauh lagi,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang naik ke pentas untuk menerima Anugerah Tokoh Ar Ridzuan bagi pihak ibunya, Allahyarham Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor berkata, pengiktirafan itu mewakili perjuangan wanita itu sebagai seorang pendidik, pejuang undang-undang Islam dan pemberdayaan wanita.
Beliau berkata, ibunya yang merupakan anak jati Perak berasal dari Pengkalan Hulu itu merupakan seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Bagi pihak keluarga kami menerima anugerah ini dengan penuh rasa rendah diri kerana jasa ibu mewakili beberapa segmen penting dalam perjuangannya selama ini.
“Selain segmen pendidik, ibu juga merupakan pejuang dan pembela undang-undang Islam dan syariah di Malaysia kerana itu adalah kepakarannya.
“Ketiga adalah pemberdayaan wanita kerana Allahyarham sentiasa mengangkat tema pemberdayaan wanita dalam semua aspek khususnya dalam pendidikan, perjuangan hak-hak wanita Islam dan juga berkaitan kekeluargaan,” katanya. – UTUSAN