KEPALA BATAS : Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua anak mereka cedera selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 127.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, terdahulu, sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kepala Batas dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 7.51 pagi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kemalangan itu melibatkan kereta jenis Proton Wira dan Proton Saga BLM.
“Ketika bomba tiba, lima orang mangsa yang terdiri daripada tiga individu dewasa dan dua orang kanak-kanak telah dikeluarkan oleh orang awam lebih awal.
“Pemandu Proton Wira iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah manakala isterinya pula mengalami kecederaan tulang belakang akibat kemalangan itu.
“Sementara itu, dua anak mereka yang masing-masing berusia enam dan lapan tahun serta seorang lelaki berusia 33 tahun yang memandu Proton Saga bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat manakala mangsa cedera turut mendapat rawatan di hospital sama.
“Kerja-kerja pembersihan kemudian dilakukan bagi memastikan tiada risiko kemerbahayaan yang lain sebelum operasi ditamatkan pada pukul 8.39 pagi,” ujarnya lagi.-UTUSAN