PUTRAJAYA: Penyelarasan perundangan antara kerajaan Persekutuan dan negeri berkaitan hak asasi manusia adalah diperlukan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, terutamanya melibatkan isu-isu kekeluargaan, perkahwinan dan hak anak-anak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, konflik antara undang-undang sivil dan syariah yang wujud dalam sistem perundangan negara harus ditangani secara berhati-hati agar tidak mencetuskan ketegangan politik atau mengganggu-gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Menurut beliau, ini kerana banyak sistem perundangan negara yang berasaskan undang-undang British dan undang-undang Islam telah menimbulkan dilema dalam pelbagai isu pentadbiran, khususnya dalam urusan kekeluargaan dan pendaftaran perkahwinan.
“Contohnya dalam konteks perkahwinan, pentadbiran memerlukan perkahwinan itu didaftar dan kita tahu undang-undang keluarga adalah hak di bawah (kerajaan) negeri, Persekutuan melihat pada dasar dan konsep hak asasi manusia.
“Sebab itu kita kena mengadakan banyak sesi muzakarah begini supaya dengan berbincang di peringkat negeri supaya ada dasar di peringkat kebangsaan, selaras dengan nilai antarabangsa dan sesuai dengan tuntutan agama dan maqasid syariah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Muzakarah Isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, penyelarasan perundangan amat penting bagi menangani isu perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara tetapi tidak didaftarkan di dalam negara, sehingga memberi implikasi kepada status serta hak anak yang dilahirkan.
Tambahnya lagi, isu perkahwinan campur yang menimbulkan persoalan berkaitan kelayakan memiliki tanah rizab Melayu serta status anak di bawah perundangan negeri terutama di Sabah dan Sarawak juga perlu diselaraskan.
Fadillah berkata, sekiranya isu-isu berkaitan terus dibawa ke mahkamah tanpa penyelesaian pentadbiran yang menyeluruh, ia berisiko menimbulkan ketidakadilan dalam sistem perundangan sivil dan syariah.
“Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kepada konflik tafsiran undang-undang sivil, syariah serta hak asasi manusia dalam pelbagai aspek, termasuk dari segi kesaksian saksi yang mungkin ditolak hanya kerana latar belakang mereka,” katanya. – UTUSAN