KUALA LUMPUR: “Hampir 80 peratus komen datang daripada penonton Filipina. Saya sangat terharu.”
Demikian pengakuan daripada Rizal Rashid selepas mempersembahkan lagu Gento bersama kumpulan OT7 pada konsert separuh akhir yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat di Filipina, baru-baru ini.
Rizal, atau nama sebenarnya Rizal Azhiman Rashid, 29, mengakui bukan mudah baginya untuk menyampaikan lagu dalam bahasa asing, namun sambutan positif daripada penonton luar nyata menyuntik semangat buat mereka.
“Masuk ke pasaran Filipina bukan satu perkara mudah, apatah lagi dari pasaran muzik Melayu.
“Tetapi bila tengok sambutan yang diberi, kami rasa sangat gembira dan berbaloi,” katanya ketika ditemui semasa sidang media di ibu kota, semalam.
Dalam masa sama, Rizal turut memuji keterbukaan peminat Filipina yang menghargai kesungguhan mereka meskipun terdapat sedikit kesilapan dalam sebutan.
“Kami cuba sebut sebaik mungkin walaupun tahu ada kekurangan. Tetapi mereka tetap menghargai usaha kami dan itu yang membuatkan kami rasa sangat dihargai.
“Lagu Gento memang mencabar sebab kami kena hafal lirik dalam bahasa Tagalog. Dalam masa sama, ada juga lagu Korea,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Rizal tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa, khususnya di Filipina.
“Kalau ada diberi peluang, saya memang terbuka untuk cuba pasaran di Filipina pula.
“Ia satu pendedahan yang besar dan sangat baik untuk perkembangan kerjaya saya ke peringkat antarabangsa,” katanya.-UTUSAN