“TIADA siapa tahu betapa hancurnya saya, orang hanya nampak saya gembira macam tiada apa-apa.”
Pelakon, Hisyam Hamid memulakan cerita. Tapi seperti kata orang, selebriti asal Singapura ini akan selalu nampak tenang hingga sukar kita membaca emosi sebenar yang dilindung diam-diam. Cuma sekali dua matanya menunduk ke bawah, barangkali mengumpul kekuatan.
Tapi kembali bertemu empat mata, menyambung kata-kata dengan senyuman. Siapa sangka ketika usianya mahu memanjat angka 40, Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdul Hamid akan melalui fasa hidup paling curam membuatnya jatuh ke jurang dalam.
Mungkin orang hanya mengetahui perkahwinannya dengan Rosmawati Hanafi telah bertemu tarikh luput selepas 20 tahun bersama. Tiada siapa yang salah, tidak pula berbalah.
Namun dedah bekas ahli bomba ini, kehidupannya berjalan lebih tawar apabila bukan sahaja perkahwinan diuji malah kerjayanya sebagai anak seni dan perniagaan alami nasib serupa membuatkan wang simpanannya mengering tiap hari.
“Situasi itu berlaku agak baru juga. Saya kehabisan wang simpanan, tiada rumah dan duit. Mungkin orang luar tidak tahu, orang nampak saya macam okay sahaja gembira, senyum, ketawa tapi sebenarnya tengah teruk gila. Banyak perkara terjadi dari segala segi terutama perniagaan. Memang rasa hendak putus asa.
“Waktu itu kena bayar itu ini, tapi saya tiada apa-apa. Kosong.
“Hanya teman rapat sahaja tahu bagaimana keadaan saya ketika itu,” kata Hisyam yang namanya mula disebut selepas membawakan karakter Harith dalam drama Ariana Rose.
Tambah Hisyam, ketika itu dirinya menjadi buntu untuk meneruskan hidup. Dalam fikiran, dia hanya mahu melarikan diri, menghilang daripada semua perkara hingga mendorongnya menutup akaun media sosial selama 24 bulan.
“Memang ketika itu kalau boleh tidak mahu jumpa sesiapa. Saya memang tidak bercakap sangat dengan orang. Saya pernah tutup media sosial lama juga dalam dua tahun.
“Hanya fikir mahu jauhkan diri dan menghilang dari dunia. Lama saya ambil masa untuk kembalikan diri saya yang hari ini.
“Dalam rasa hendak putus asa ketika itu, saya tahu anak-anak masih perlukan bapa. Jadi, saya kena bangun juga, fikir jalan lain dan banyak sabar,” tambah bapa kepada dua anak ini.
Namun begitu, segala payah dan kusut kehidupan yang ditempuh perlahan-lahan menjadi lebih baik selepas Hisyam mengadu segalanya kepada ibunya, Siti Rohani, 64.
Rupanya, kata orang bahawa doa seorang ibu tiada hijab, terus menembus dinding langit diakui Hisyam. Dia melihat beban hidup yang dulu begitu sarat perlahan-lahan diangkat.
“Ketika itu, saya hanya buat satu perkara iaitu pergi jumpa emak dan luahkan segalanya. Satu perkara saya boleh sahkan iaitu memang doa seorang ibu begitu ajaib. Walaupun ketika itu emak hanya cakap dua perkara sahaja, sabar dan jaga nawaitu.
“Ketika itu sebenarnya saya buat satu perkara yang tak patut dilakukan, tapi emak pesan untuk saya jangan buat perkara tidak sepatutnya. Kerana itu, saya mula fokus kepada kerjaya dan anak-anak.
“Saya berusaha cari rezeki, dalam fikiran saya memang untuk anak dan jangan tinggal solat. Sebelum ini dada saya rasa ketat tetapi perlahan-lahan longgar dan dipermudahkan.
“Kerana doa emak, saya perlahan lahan dapat banyak tawaran projek. Sehingga ada dapat tawaran yang begitu lumayan, tidak pernah saya dapat sebegitu. Tapi itulah, Allah hendak beri. Alhamdulillah, berkat doa emak sampai hari ini rezeki tidak pernah putus,” ceritanya.
EMAK TINGGAL SEBUT SAHAJA
BUKAN kerana terhutang budi, tapi mengenang kasih seorang ibu yang mahu menerimanya dalam semua keadaan membuatkan Hisyam lebih mengutamakan ibu dalam segala urusan.
“Emak tinggal cakap sahaja, saya akan usahakan,” tekad Hisyam. Walaupun membesar dua beradik sahaja. Hisyam mengakui mereka berdua saling berebut untuk menjaga ibu.
“Memang kami berebut mahu jaga emak. Emak sekarang tinggal di Singapura dengan anak-anak, tapi dia di bawah jagaan saya. Segala keperluan emak semua saya tanggung cuma adik ada tambah sikit-sikit, orang kata bonus. 25
“Saya memang mahu emak dekat dengan saya sebab dia adalah segalanya. Dia hendak apa, pergi mana semua saya akan usahakan. Emak saya suka masuk kelas kadang belajar agama dan sebagainya.
“Tapi bila cakap pasal emak-emak, mereka ada satu perangai yang tidak suka meminta daripada anak. Sampai saya terpaksa ‘basuh’ fikiran dia supaya jangan segan minta apa-apa daripada saya.
“Sebagai anak, menjaga seorang ibu adalah amalan yang kita kena rebut. Rugi kalau mak ayah masih hidup tapi kita tidak jaga. Saya sudah lihat bagaimana ajaibnya doa seorang ibu bekerja,” tambahnya.
Ketika ditanya apakah hadiah yang istimewa yang pernah diberikan Hisyam kepada ibu, Personaliti Lelaki Paling Popular, Pesta Perdana Singapura ke-16 itu tergelak kecil.
“Ada suatu ketika saya ada penggambaran di Paris, saya bawa dia ke satu kedai beg berjenama mewah dan kata ‘mak pilihlah mana-mana’.
“Dia macam biasa, sudah tentu cakap ‘tak apalah’ tapi saya paksa juga sampai dia pilih satu beg. Cuma berulang kali dia tanya ‘betulkah?’ Sebab terharu.
“Sekarang kalau cuti, saya akan bawa emak ke mana-mana. Kelakarnya hari itu saya cakap hendak bawa dia pergi Korea. Tapi dia kata mahu pergi umrah. Jadi, hujung-hujung, dia ke umrah, saya dan anak-anak ke Korea. Keutamaan saya sekarang adalah hendak buat emak dan anak anak gembira,” ceritanya.
Bakal memasuki usia dengan angka 40 tahun hadapan, Hisyam berdoa agar sosok ibu akan selalu menemani perjalanannya hari ini dan selamanya.
“Saya pernah terbayang juga macam mana kalau emak tiada. Membayangkan itu sahaja pun, sudah terasa betapa beratnya hidup tanpanya,” katanya.