‘Saya mahu ubah karakter wanita sekadar menyondol, disondol’

‘Saya mahu ubah karakter wanita sekadar menyondol, disondol’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAT dengan karakter wanita yang ditampilkan sama ada kaki sondol atau menjadi insan menderita kerana suami disondol. Pelakon, Sarimah Ibrahim kini teruja bergelar penerbit demi menghasilkan naskhah yang mengangkat pemerkasaan wanita di dalam layar menerusi syarikatnya, Sarimah Sdn. Bhd.

Proses bergelar penerbit di Malaysia juga tidak mudah, setiap calon perlu menghadiri kursus khas serta perlu lulus ujian sebelum diterima menjadi ahli Persatuan Penerbit Filem Malaysia. Namun, Sarimah bersyukur kerana lulus cemerlang sekali gus setapak ke hadapan menyempurnakan hasratnya bergelar penerbit sejak sedekad lalu.

“Target saya selepas ini ialah untuk menjalin kerjasama dengan penerbit lain. Saya bersedia bermula dari bawah dan belajar dengan penerbit hebat yang lain.

“Idea itu sudah saya bentangkan ialah sebuah filem dokumentari berkenaan penggiat seni wanita dan cabaran yang dihadapi mereka sepanjang bekerja. Ia merupakan sebuah kerjasama saya dengan syarikat Red Communications.

“Sebelum ini syarikat Sarimah Sdn Bhd diwujudkan untuk mengurus saya, kini kita akan lebarkan sayap menjadi syarikat produksi dan pengedar,” jelasnya.

Jelas Sarimah, dia melihat ada kelompongan terutama bagaimana sosok wanita ditampilkan sebagai watak yang sekadar menghiasi jalan cerita.

“Saya kena kaji apa yang penonton mahukan dan bagaimana kita mahu mengisi ruang. Contohnya filem Sheriff, Polis Evo dan Blood Brothers semuanya lelaki. Watak wanita hanya sedikit, itupun mereka mati.

“Sedangkan wanita ini ada bermacam peranan seperti ibu, kakak, kawan. Cerita kita tidak menunjukkan realiti perempuan.

“Kita akan cuba ubah terutama berkenaan pembangunan karakter seorang wanita. Tolonglah, takkan mahu watak mati, disondol atau menyondol. Blia kita tayangkan cerita begitu, ia macam kitaran, penonton mahukan itu dan ia betul-betul terjadi,” ujarnya.

MASIH BERLAKON
Walaupun sedang giat menjalankan kerja belakang tabir, Sarimah tidak akan meninggalkan minat dan cintanya kepada bidang lakonan. Mengambil inspirasi daripada Reese Witherspoon dan Dian Sastrowardoyo, masing-masing masih aktif berlakon selain menerbitkan naskhah berkualiti.

“Kalau boleh saya masih nak berlakon. Cuma saya akan pilih watak. Di Malaysia watak kita agak terhad. Takkan kita nak jadi datin selamanya.

“Kita ada tanggungjawab terhadap masyarakat. Apa yang dihasilkan dan mahu suapkan ke mulut orang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN