Saya kurus sahaja, mungkin struktur baju beri salah faham - Ernie Zakri nafi hamil - Utusan Malaysia

Saya kurus sahaja, mungkin struktur baju beri salah faham – Ernie Zakri nafi hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri, tidak menyangka rekaan gaun sedikit kembang di bahagian hadapan semasa konsert di Singapura menyebabkan ada pihak berspekulasi dirinya sedang hamil anak kedua.

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, tidak terguris hati sebaliknya menganggap kata-kata itu sebagai doa yang baik daripada peminat.

“Saya tidak pernah menolak jika ada rezeki hamil anak kedua, insya-Allah doa-doakan. Tapi, setakat hari ini, ini adalah makanan.

“Mungkin sebab baju itu juga yang distrukturkan sebegitu. Ia memang sedikit kembung di depan, jadi biasalah peminat apa sahaja berita yang mereka nampak daripada saya, mereka akan raikan.

“Tapi, awal sangat mereka raikan, saya masih belum maklumkan apa-apa lagi. Apapun saya tidak menolak atau menafikan, jika ada rezeki anak kedua saya okay sahaja,” katanya.

Ernie ditemui di sidang media lagu duet Kisah Penuh Kecewa di Pejabat Urusan Universal Music Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ernie mengakui tidak mudah untuk seorang wanita berhijab mencari fesyen sesuai untuk digayakan.

Bagaimanapun dia tetap berpuas hati dengan penampilan dan busananya semasa konsert Aura: Ernie Zakri – Live In Concert Singapore yang direka oleh anak tempatan.

“Saya bersyukur dan perlu melihat daripada perspektif lain juga. Saya tak boleh lagi terasa orang cakap saya gemuk dan sebagainya.

“Saya rasa kurus sahaja, tapi mungkin sebab baju itu. Kadang-kadang bila berhijab ini ada satu kesukaran sedikit untuk berfesyen

“Niat pereka fesyen untuk memberikan yang terbaik. Saya tetap rasa baik dengan gaun itu, tapi kalau peminat menyangka saya mengandung, saya terima sahaja,” katanya.

Terdahulu, ada pihak yang menyangka penyanyi Masing Masing itu itu sedang berbadan dua kerana terlibat ‘baby bump’ ketika menyarungkan baju berwarna biru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN