KUALA LUMPUR: Penyanyi, Khai Bahar, memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan saman terhadap seorang individu yang sebelum ini memfitnahnya di laman sosial.
Pemilik nama penuh Muhammad Khairul Baharuddin itu memaklumkan ikhlas mengambil keputusan tersebut dan enggan memanjangkan isu terbabit.
“Si pelaku pun sudah memadam perkongsian palsu dan tidak lagi memfitnah saya di laman tersebut. Saya ikhlas untuk melepaskan dia,” katanya.
Khai berkata demikian pada sidang media lagu Beri Sedikit Waktu di ibu negara semalam.
Khai sekitar Mei lepas merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku berkenaan yang sengaja mencetuskan fitnah dengan memuat naik semula video dia dan adik iparnya di platform X.
Perkongsian itu mengundang pelbagai kecaman netizen dan spekulasi liar sehingga menjejaskan imej penyanyi tersebut.
Dalam pada itu penyanyi berusia 31 tahun itu tidak menolak fitnah tersebut didalangi individu rapat dengannya.
“Saya tak pernah jumpa pun orang ini tapi perkongsiannya seperti dia ini orang yang mengenali saya juga. Tapi saya tak tahu siapa dia.
“Yang peliknya dia sanggup cipta akaun media sosial palsu untuk fitnah saya,” katanya.
Khai dalam pada itu berharap perkara ini menjadi pengajaran buat semua, terutamanya pelaku dalam kes tersebut.
“Janganlah tuduh kalau tak ada bukti, kalau ada (bukti) tak mengapalah juga. Ini tidak, tak ada kebenaran pun pada tuduhannya terhadap saya.
“Tuduhannya itu ibarat macam dia tinggal serumah dengan saya, main cakap sahaja,” kongsinya. – UTUSAN