‘Saya bermula sebagai extra gaji RM50’ - Utusan Malaysia

‘Saya bermula sebagai extra gaji RM50’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUANYA dimulakan dengan sebuah filem Layar Lara yang diterbitkan pada 1997. Sejak menonton filem arahan Shuhaimi Baba itu, pelakon, Zahiril Adzim memasang impian untuk bergelar sutradara dengan konsep filem di dalam filem.

Selepas 19 tahun bergelar anak seni, Zahiril atau Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, kini tersenyum kerana akhirnya bergelar pengarah menerusi filem debutnya dengan bantuan Adrian Teh bertajuk Martabat Misi Berdarah.

Filem Zahiril dengan gaya satira menyentuh kesusahan dan kepayahan kru belakang tabir bagi menjayakan sebuah filem. Malah, dia juga sesekali menyindir sikap tidak profesional segelintir pelakon popular dan pilih kasih dalam industri seni.

“Cerita ini kebanyakannya adalah pengalaman saya sepanjang 19 tahun dalam industri seni. Cuma ada beberapa yang kami fiksyenkan.

“Di Malaysia kita ada satu ekosistem di mana artis akan lepak dengan kru. Begitu juga dengan pelakon ekstra dengan pelbagai ragam yang saya jumpa.

“Ada pelakon yang asalnya hanya pelakon ekstra tapi kini sudah berlakon watak utama,” cerita Zahiril.

Malah, sepanjang penggambaran dia sesekali teringat pengalaman lampau yang mula memasuki industri sebagai pelakon ekstra tidak berdialog.

“Saya sendiri bermula sebagai ekstra dengan gaji 50 ringgit.

“Waktu itu saya jadi tukang sorak dari pagi sampai malam. Saya tidur atas jalan tar, ada pengalaman itu saya selitkan,” ceritanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Zahiril bersedia jika ada pihak terasa hati dengan kebenaran yang dibentangkan, pelakon asal Taiping, Perak itu tersenyum.

“Kalau ada pihak yang terasa, itu yang saya mahukan. Artis yang datang waktu tayangan perdana pun ramai yang setuju situasi itu yang ada dalam filem ini.

“Tapi yang menjadi kebimbangan saya adakah mereka di luar sana boleh terima kerana banyak lawak berkaitan dengan industri seni.

“Kita cuba ringankan dan menjadikan ia sesuatu yang mudah difahami. Saya harap orang boleh terima cerita mengenai kesusahan di set penggambaran,” ceritanya.

JADI PENGARAH TAK MUDAH

Dedah Zahiril, mengarah dan berlakon pada masa yang sama bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu, dia meminta bantuan Adrian Teh untuk membantunya di set penggambaran khususnya berkenaan teknikal.

“Saya sebenarnya tak nak berlakon sambil mengarah sebab saya pernah buat untuk telefilem. Saya terlalu penat dan tidur dekat set. Hasilnya penggambaran tak dapat dijalankan sebab pengarah tidur.

“Saya pujuk dan Adrian mengarah bersama saya barulah saya setuju. Bila saya di set, dia bantu dari segi teknikal. Apa apa shoot saya beritahu Adrian,” katanya.

Filem Martabat Misi Berdarah kini ditayangkan di panggung bermula 12 Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN