KLANG: “Kami sangka ia bunyi tembakan burung gagak atau mercun tetapi rupa-rupanya kes bunuh”.
Demikian menurut peniaga sekitar lokasi kejadian seorang lelaki maut ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal dekat Taman Meru Utama, Meru di sini, semalam.
Menurut wanita berusia 50-an yang enggan dikenali itu, ketika kejadian dia bersama beberapa pelanggan berada di kedai runcitnya, kira-kira pukul 3.19 petang.
“Tidak lama kemudian, saya terdengar bunyi agak kuat dan menyangka ia mungkin orang menembak gagak atau mercun.
“Sejurus melihat ke luar, saya terkejut ada individu ditembak di depan kedai motosikal berkenaan,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, insiden itu kali pertama berlaku sejak dia berniaga di kawasan berkenaan lima tahun lalu.
“Mujur tiada orang awam lain cedera dalam kejadian tembakan berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, polis mengesahkan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun mati ditembak dan ditemukan dalam sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kes melepaskan tembakan, kira-kira pukul 3.37 petang.
Pemeriksaan polis menemukan mangsa dalam keadaan mengiring dengan berlumuran darah di tempat duduk pemandu.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat. Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










