Saman JPJ: KDEBWM batal kontrak syarikat tak patuh perjanjian

Saman JPJ: KDEBWM batal kontrak syarikat tak patuh perjanjian

Saman KDEBWM
RAMLI Md. Tahir ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak dengan mana-mana kontraktor yang gagal mematuhi perjanjian sehingga menyebabkan syarikat itu terpaksa menanggung saman daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Md. Tahir, ketika ini pihaknya menilai kontraktor berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan bagi mereka yang mempunyai saman akan dipotong bayaran perkhidmatan selain dikenakan denda.

Menurutnya, kontraktor bertanggungjawab terhadap tindakan undang-undang termasuk saman daripada pihak berkuasa yang sepatutnya diselesaikan sendiri seperti mana termaktub dalam perjanjian sebelum mereka bersetuju untuk menerimanya.

“Sejak mula beroperasi pada 2015 sehingga kini, KDEB menerima sebanyak 23,218 saman daripada pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan dengan nilainya berjumlah RM2.38 juta terhadap 1,500 lori-lori kompaktor dan roll-on roll-off (roro).

“Sebanyak 1,500 vendor (kontraktor) yang bertanggungjawab mengendalikan setiap satu lori bertanggungjawab menyelenggara, memastikan pembayaran cukai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan pemeriksaan lori, mereka perlu patuh peraturan seperti mana dalam perjanjian,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, syarikat pengurusan sisa pepejal milik Kerajaan Selangor itu mendakwa sudah pun menyelesaikan 13,000 saman yang dikenakan ke atas lori-lori kompaktor milik mereka secara berperingkat.

Penyelesaian tersebut susulan makluman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook apabila sebanyak 28 syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres mencatatkan jumlah tertinggi yang menunjukkan KDEBWM mempunyai 22,017 saman tertunggak.

Jelas, Ramli, beliau akui terdapat kelemahan dalam komunikasi antara syarikatnya dengan kontraktor sehingga menyebabkan wujud masalah saman yang dikenakan oleh pihak berkuasa kepada pemandu, namun tidak dimaklumkan kepada kontraktor dan KDEBWM.

“Saya memberi jaminan untuk menyelesaikan kesemua saman dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan. Ketika ini, kita masih mempunyak 14,332 saman aktif. Pada tahun ini sahaja kita sudah selesaikan bayaran saman sebanyak RM146,890 sejak Januari lalu.

“Saman dikenakan atas pelbagai kesalahan seperti lesen kenderaan tamat tempoh, tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL), lori tidak diselenggara dengan baik, lampu arah tidak berfungsi, muatan terkeluar dan sebagainya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, KDEBWM merupakan satu-satunya syarikat pengurusan sisa pepejal di Malaysia yang memiliki kesemua 1,500 lori kompaktor sebelum ia diserahkan kepada kontraktor selepas mereka melaksanakan perkhidmatan kutipan sampah selama tujuh tahun.

“Selepas ini kita akan tambah baik klausa dalam perjanjian seperti menaikkan jumlah penalti atau denda, mengenakan tindakan lebih tegas. Kita kena lebih agresif untuk mendapatkan maklumat saman daripada pihak berkuasa dengan lebih kerap supaya vendor lebih peka,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN