RUU Warga Emas masih di peringkat libat urus - Utusan Malaysia

RUU Warga Emas masih di peringkat libat urus

NANCY Shukri ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Wanita Gig And Business In Technology (Gig@Bit) 2025 di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang dirangka bagi melindungi dan memperkasakan golongan berumur di negara ini masih dalam fasa libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan tidak mahu tergesa-gesa membentangkan RUU tersebut sebelum semua pihak yang terlibat diberi ruang untuk memberikan maklum balas.

“Satu pasukan projek khas atau Special Project Team (SPT) telah ditubuhkan untuk melihat secara menyeluruh aspek yang perlu dimasukkan dalam RUU ini.

“Kami tidak mahu ada pihak rasa terpinggir. Prinsip kita jelas iaitu no one left behind,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Wanita Gig And Business In Technology (Gig@Bit) 2025 di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, selepas selesai semua sesi libat urus, draf RUU akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan lanjut.

“Ahli Parlimen penyokong kerajaan (backbenchers) juga perlu diberi penerangan kerana mereka akan terlibat dalam proses perbahasan nanti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa warga emas bukan sahaja terdiri daripada golongan uzur sebaliknya ramai yang masih sihat dan aktif.

Oleh itu, katanya, RUU tersebut perlu mengambil kira pembangunan fizikal dan sosial yang sesuai dengan keperluan mereka.

“Jika kita lihat di peringkat antarabangsa atau negara-negara lain, pembangunan untuk warga emas semakin menjadi keutamaan. Mereka bukan sekadar memerlukan penjagaan kesihatan, tetapi juga akses kepada kemudahan, peluang ekonomi dan penglibatan komuniti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, desakan agar diperkenalkan RUU Warga Emas semakin meningkat bagi menginstitusikan hak, perlindungan dan kebajikan golongan itu sejajar dengan peralihan Malaysia ke arah negara menua menjelang 2030.

Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata menjelang 2030, sebanyak 15 peratus daripada jumlah penduduk negara dijangka berusia 60 tahun ke atas.

“Oleh itu, penggubalan undang-undang khusus untuk warga emas adalah bukan sahaja wajar, malah amat diperlukan bagi memastikan mereka dilayan dengan penuh maruah, hormat dan adil dalam semua aspek kehidupan bermasyarakat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN