WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendedahkan senjata nuklear terbaharu mereka, peluru berpandu jarak jauh berkuasa tinggi AGM-181A Long-Range Stand Off (LRSO), yang dipercayai jauh lebih dahsyat daripada bom atom yang digugurkan di Hiroshima pada 1945.
Peluru berpandu berkuasa nuklear itu dibangunkan secara rahsia selama bertahun-tahun dan kini dilaporkan telah menjalani beberapa ujian penerbangan yang berjaya, dengan perancangan untuk digunakan dalam barisan hadapan menjelang tahun 2030.
Senjata generasi baharu itu dilengkapi dengan teknologi halimunan, enjin jet serta keupayaan untuk mengatasi serangan gangguan elektronik disamping ianya juga mampu dilancarkan sejauh lebih 1,500 batu (2,414 kilometer), sekali gus meletakkannya sebagai peluru berpandu jarak jauh yang sangat sukar dikesan radar.
AGM-181A direka untuk membawa kepala peledak termonuklear W80-4 dengan kuasa letupan boleh laras antara 5 hingga 150 kiloton lebih 10 kali ganda kekuatan bom atom ‘Little Boy’ yang menggugurkan kemusnahan dahsyat di Hiroshima, Jepun pada Ogos 1945.
Sebagai perbandingan, peluru berpandu Tomahawk yang digunakan secara meluas oleh tentera AS hanya membawa kepala peledak konvensional seberat 1,000 paun dan mempunyai jarak yang hampir sama.
LRSO bukan sekadar satu senjata pemusnah, malah ia mampu menyesuaikan arah serangan secara automatik berdasarkan ancaman semasa di udara dan ianya juga dikatakan boleh beroperasi dalam persekitaran ekstrem termasuk kawasan yang tidak mempunyai capaian GPS atau menghadapi serangan peperangan elektronik (electronic warfare).
Menurut laporan daripada The War Zone (TWZ) dan 1945, peluru berpandu ini berkemungkinan besar bersifat subsonik iaitu terbang lebih perlahan daripada kelajuan bunyi namun kelebihannya terletak pada keupayaan menyusup secara senyap dan tepat ke sasaran, walaupun berdepan pertahanan udara yang canggih.
Maklumat lanjut berkaitan kelajuan maksimum, jangkauan sebenar serta ciri radar LRSO masih dirahsiakan atas faktor keselamatan.
Kos pembangunan setiap unit peluru berpandu itu dianggarkan mencecah AS$14 juta (RM66 juta) dan ianya dibangunkan sebagai tindak balas terhadap perkembangan pesat senjata nuklear China dan bakal menggantikan peluru berpandu era Perang Dingin, AGM-86B.
LRSO turut dijangka akan melengkapi pesawat pengebom strategik generasi baharu B-21 Raider yang bernilai £585 juta (RM3.5 bilion) serta pesawat pengebom B-52 yang dinaik taraf. -AGENSI










