Rumah penginapan haram undang risiko keselamatan pelancong

Rumah penginapan haram undang risiko keselamatan pelancong

Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha penginapan jangka masa pendek (STRA) yang tidak berlesen sehingga mengancam pemain industri berdaftar.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, langkah tersebut perlu diambil selepas aktiviti penjualan dan promosi di platform Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) semakin berleluasa sehingga mengancam pemain industri berdaftar.

Katanya, ia sekaligus menjejaskan reputasi negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kewujudan unit STRA yang tidak berlesen dan tidak di kawal selia, termasuk apartment, kondominium dan kediaman persendirian yang ditukar menjadi penginapan sementara mencetuskan ekonomi penginapan haram.

“Entiti ini beroperasi di luar rangka kerja undang-undang, tidak membayar lesen atau cukai, tidak terikat dengan aspek keselamatan serta menjejaskan pemain industri pelancongan sah yang telah banyak melabur bagi mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan sedia ada. Pengusaha STRA tidak berlesen ini sedang menghakis kredibiliti dan kelestarian ekosistem pelancongan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ganesh Michiel berkata, ketiadaan pemantauan yang berkesan terhadap kegiatan itu mengakibatkan pelbagai masalah termasuk risiko keselamatan kepada pelancong, akibat kegagalan pengusaha penginapan tidak berdaftar dalam mematuhi peraturan keselamatan kebakaran dan kesihatan.

Selain itu, beliau mendakwa kewujudan STRA mencetuskan gangguan terhadap komuniti kediaman akibat penginapan sementara yang tidak dikawal.

“STRA juga mengakibatkan kehilangan hasil cukai kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan Persekutuan. Ia turut boleh mencetuskan penyelewengan harga pasaran yang merugikan pengusaha hotel yang sah.

“Kita juga bimbang STRA membiarkan pelancong terdedah kepada penipuan dan premis yang tidak selamat kerana mempunyai perlindungan pengguna yang lemah,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut menyarankan agar ditubuhkan satu jawatankuasa khas dianggotai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk segera memperkenal serta menguatkuasakan undang-undang bagi pengoperasian STRA.

Beliau mencadangkan PBT diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang secara konsisten tanpa menjejaskan perniagaan hotel berlesen.

“Jawatankuasa itu disarankan untuk menetapkan standard operasi dan keselamatan minimum bagi semua penyedia penginapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN