KLANG: Sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi transit pendatang asing tanpa izin (PATI) di Taman Klang Jaya di sini, diserbu pihak berkuasa malam tadi.
Difahamkan, kediaman teres satu tingkat itu disewa warga Indonesia sebagai lokasi berkumpul dan tempat persinggahan untuk mencari pekerjaan di daerah ini.
Perkara itu dibongkar Jabatan Imigresen Selangor yang menyerbu rumah berkenaan menerusi Op Sapu, kira-kira pukul 10.20 malam tadi.
Serbuan itu membawa kepada penahanan empat warga asing termasuk pasangan suami isteri dan kanak-kanak berusia satu hingga 55 tahun.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamarudin berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan pihaknya dan aduan penduduk setempat.
“Penduduk mendakwa sering kali terganggu dengan bunyi bising dari rumah itu terutama pada waktu malam.
“Individu yang ditahan terdiri daripada pasangan suami isteri bersama seorang anak perempuan mereka dan seorang lagi rakan serumah,” katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rumah yang berada di lot tepi itu mempunyai beberapa bilik dengan kebanyakannya dihuni wanita termasuk kanak-kanak.
Menurut Khairul Aminus, semakan mendapati kesalahan yang dikesan termasuk tiada permit sah dan tinggal lebih masa di negara ini.
“Siasatan mendapati si suami berusia 55 tahun dipercayai bekerja sebagai buruh binaan manakala isterinya berusia 41 tahun tidak bekerja dan hanya tinggal di rumah.
“Kesemua individu yang ditahan akan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah Khairul Aminus, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN