Rugi RM2.3 juta ditipu pelaburan koperasi

Rugi RM2.3 juta ditipu pelaburan koperasi

HISHAMUDDIN Hashim (tengah) bersama para pelabur yang ditipu program pelaburan tampil menyerahkan aduan kepada Jabatan Pendakwaan Kelantan di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kira-kira 26 individu mendakwa kerugian sebanyak RM2.3 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan yang ditawarkan oleh sebuah koperasi di sini.

Dakwa mereka, koperasi yang aktif sejak 2019  itu menawarkan pelbagai jenis program pelaburan termasuk emas, simpanan emas, sewa papan iklan digital dan perniagaan air mineral dengan menjanjikan pulangan tertentu kepada setiap pelabur.

Kebanyakan pelabur terdiri daripada warga emas dan penjawat awam dengan kerugian dialami setiap mangsa serendah RM35,000 sehingga RM300,000.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Aminah, 40, berkata, dia mengalami kerugian sebanyak RM80,000 selepas terpikat dengan pelaburan emas yang menjanjikan pulangan hibah sebanyak 2.5 peratus setahun.

“Menerusi pelaburan simpan emas, saya telah menyerahkan semua barang kemas saya kepada koperasi berkenaan. Bagaimanapun barang kemas saya telah digadai oleh mereka.

“Perkara itu hanya diketahui selepas barang kemas milik saya mahu dilelong. Susulan itu, saya terpaksa membuat pinjaman bank sebanyak RM120,000 untuk menebus semula barang berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, semua mangsa melakukan pelaburan sejak 2019.

“Laporan polis sudah dibuat dan hari ini kami menghantar surat  kepada Jabatan Pendakwaan Kelantan bagi memohon supaya dalang di sebalik kes ini didakwa secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN