Rombongan meminang terperangkap lebih 2 jam dalam lif

Rombongan meminang terperangkap lebih 2 jam dalam lif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 15 individu rombongan meminang melalui pengalaman cemas apabila terperangkap lebih dua jam dalam lif di Blok M, Empire City, Damansara dekat sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.35 malam, ketika rombongan lelaki terbabit termasuk kanak-kanak dari Selangor, hendak ke tingkat 26 menara berkenaan untuk menghadiri majlis meminang dijadual bermula 9 malam.

Difahamkan, mereka menggunakan sebuah lif di tingkat B2 untuk membolehkan hadir serentak ke majlis itu.

Rombongan itu diselamatkan dengan bantuan anggota bomba selepas lebih dua jam terperangkap.

Sebaik keluar, mereka disambut oleh ahli keluarga pihak perempuan yang telah menghubungi bomba, segera menghulurkan air mineral kerana masing-masing dahaga selepas hilang banyak air akibat suasana panas dalam lif.

Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke tingkat 26 untuk melangsungkan majlis pertunangan yang berakhir hampir pukul 12 tengah malam disebabkan insiden itu.

Seorang ahli rombongan, Rahimah Yaacob, 40an, menyuarakan rasa tidak puas hati atas kelewatan dan sikap tidak profesional pihak pengurusan bangunan terbabit dalam menangani insiden berkenaan.

“Dia kata masalah sebab lif terlebih muatan (over load). Lebih muatan macam mana, kami 15 orang termasuk kanak-kanak anggaran berat 1,040 kiligram, berbanding kapasiti lif 18 orang berat 1,225 kilogram.

“Kami minta mereka (bahagian penyelenggaraan yang cuba membantu), keluarkan beberapa orang dari siling untuk kurangkan beban, tapi dia kata tak boleh ada halangan pada siling.

“Dia kata reka bentuk lif pelik. Mungkin sebab tak ada laluan kecemasan di ruang siling. Bomba kena siasat. Bagaimana jika ada antara kami yang pengsan dan perlukan pertolongan cemas?

“Lebih dua jam terperangkap, tiada pihak pengurusan bangunan yang berkomunikasi tanya khabar. Kami yang asyik tekan loceng kecemasan dan butang intercall, desak tindakan segera.

“Jawapan diberi, pihak juruteknik dalam perjalanan. Pada mulanya kata 20 minit, sampai lebih dua jam baharu kami dapat keluar. Itupun dengan bantuan bomba.

“Pertolongan sangat lambat. Selepas sejam terperangkap, kami minta dia minta bantuan bomba, tapi dia macam mengelak dan kata bomba datangpun tak boleh buat apa. Jika awal-awal dia minta bantuan bomba, kami boleh dikeluarkan lebih cepat.

“Satu lagi, kata kami lebih muatan, tapi tiada bunyi amaran masa masuk lif dan pintu lif masih boleh tutup. Biasa jika lebih muatan, ada bunyi amaran dan pintu lif tak boleh tutup.

“Mujur kami naik dari tingkat B2 dan lif jatuh hanya sikit sebab bunyi dentuman kuat bawah lantai. Bayangkan jika ia berlaku dari tingkat lebih tinggi?

“Kami minta pihak berwajib siasat keselamatan lif-lif di bangunan-bangunan kediaman tinggi. Jangan sampai ada yang terkorban barulah semua pihak bertindak dan mula salah menyalahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN