Remaja OKU pembelajaran hilang ketika cari lembu

Remaja OKU pembelajaran hilang ketika cari lembu

SITI Norehan Azhar menunjukkan gambar Muhamad Aidil Asyraf Fadli yang hilang ketika keluar mencari lembu di Kampung Permatang Pasir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dilaporkan hilang selepas keluar mencari lembu milik bapa saudaranya di kawasan hutan di Kampung Permatang Pasir di sini, semalam.

Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, tidak pulang ke rumah selepas keluar sekitar pukul 6.30 petang untuk menguruskan 13 ekor lembu seperti kebiasaan.

Ibunya, Siti Norehan Azhar, 38, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu sudah tiga tahun menjaga ternakan berkenaan dan diberi upah oleh bapa saudaranya.

“Aidil memang anak OKU pembelajaran tapi dia tahu guna telefon, WhatsApp pun dia boleh balas, dia tak pernah keluar merayau tempat lain, cuma ulang alik uruskan lembu.

“Rutin dia, balik sekolah terus keluar sabit rumput, urus lembu, kemudian pergi mengaji dalam pukul 7.30 malam, tapi semalam dia tak keluar pun waktu itu, pak cik dia cari tapi tak jumpa, telefon dan WhatsApp pun tak berjawab,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

MUHAMAD AIDIL ASYRAF FADLI

Tambah Siti Norehan, anaknya itu seorang pendiam dan tidak pernah melawan jika dimarahi.

“Kalau dia marah pun dia senyum sahaja, memang tak pandai melawan. Dia pun tak berkawan dengan orang lain, cuma rapat dengan pak cik dia saja,” katanya.

Siti Norehan merayu orang ramai yang menemui anaknya segera membawa remaja itu ke balai polis berhampiran.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bersambung pagi ini melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, unit anjing pengesan (K9) serta penduduk kampung.

Pasukan SAR menumpukan pencarian di dua kawasan kolam terbiar, namun setakat pukul 10 pagi tadi masih belum menemukan sebarang petunjuk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN