KUANTAN: Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarganya di Taman Chendor Perdana, di sini petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, laporan kehilangan remaja tersebut dibuat oleh bapanya di Balai Polis Cherating, di sini kira-kira pukul 12.09 tengah malam, semalam.
Katanya, Muhammad Harraz Ruslan Kamal, 16, pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Kemaman, Terengganu, kali terakhir dilihat berada di rumahnya pada pukul 3.15 petang, Selasa lalu.
“Siasatan awal mendapati pengadu meninggalkan rumah sebentar untuk mengambil anak ketiganya pulang dari sekolah. Namun, sebaik sahaja pulang ke rumah kira-kira pukul 3.30 petang, pengadu mendapati Muhammad Harraz tiada di rumah.
“Pengadu cuba menghubungi anak lelakinya itu menerusi telefon bimbit namun tidak dijawab dan usaha mengesan di sekitar kawasan perumahan serta Pantai Teluk Moknik juga gagal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Mohd. Zahari berkata, bapa Muhammad Harraz turut memaklumkan bahawa insiden tersebut berlaku dipercayai akibat perselisihan faham antara mereka.
Menurutnya, remaja lelaki terbabit kali terakhir dilihat memakai baju T putih dan seluar trek hitam dan dipercayai membawa bersama telefon bimbit jenis Oppo Reno, seunit power bank dan sejumlah wang tunai semasa keluar dari rumah.
“Pengadu turut mengesyaki anaknya mungkin ke Kuala Terengganu untuk berjumpa dengan rakannya. Sehingga kini, usaha mengesannya masih giat dijalankan. Polis sudah merakam percakapan pengadu, membuka kertas siasatan dan mengedarkan hebahan kehilangan orang hilang kepada pihak berkaitan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kehilangan Muhammad Harraz diminta menghubungi Balai Polis Cherating atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UTUSAN