PETALING JAYA : Polis menahan lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan sekumpulan individu di Dataran Merdeka baru-baru ini.
Kesemua mereka ditahan terdiri lingkungan 17 hingga 23 tahun dan direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihak polis memandang serius insiden yang berlaku yang mengancam ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam segala kegiatan yang melanggar
undang-undang,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sulizmie Affendy berkata, sebarang maklumat lanjut berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Terdahulu, tular rakaman video pergaduhan di Dataran Merdeka yang dikatakan berlaku malam Jumaat lalu.
Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu memaparkan beberapa lelaki bergaduh dengan ada antaranya membaling topi keledar.
Kejadian turut disaksikan sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal yang dilihat berkumpul di kawasan berkenaan.