Rakyat Malaysia di Iran akan dipindahkan mulai Jumaat ini - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia di Iran akan dipindahkan mulai Jumaat ini

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia termasuk perwakilan, pelajar dan pelancong yang berada di Iran akan dikeluarkan serta dipindahkan mulai Jumaat ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan telah mengenalpasti jumlah rakyat Malaysia di negara itu.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, jumlah yang mendaftar itu bagaimanapun tidak terlalu besar.

“Tapi mereka telah digerakkan untuk bergerak keluar dari negara Iran dan segala persiapan visa telah dimuktamadkan.

“Insya-Allah mereka akan melakukan perjalanan keluar dalam tempoh sehari dua ini dijangka pada 20 Jun ini,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai rancangan pelan pemindahan rakyat Malaysia di Iran susulan perkembangan keselamatan di negara berkenaan.

Kementerian Luar sebelum ini menasihatkan semua rakyat Malaysia yang menetap di Iran supaya meninggalkan negara itu serta-merta melalui apa-apa kaedah selamat dan tersedia.

Menurutnya, keadaan di negara itu semakin meruncing dan situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran ketika ini terus berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Iran. Semua mereka disahkan selamat dan sudah dinasihatkan untuk meninggalkan Iran dengan segera.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran juga akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka dari Tehran,” katanya.

Jumaat lalu, Israel dilaporkan berkata, serangan ke atas Iran pada dilancarkan susulan kebimbangan terhadap tindakan Tehran membangunkan keupayaan senjata nuklear sejak kebelakangan ini.

Media Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di Tehran selepas Israel melancarkan serangan, awal pagi Jumaat lalu.

Operasi ketenteraan Israel itu menyasarkan sistem pertahanan udara Iran serta beberapa lokasi utama program nuklear dan ketenteraan, mengorbankan puluhan nyawa termasuk komander tentera tertinggi dan saintis atom, menurut pihak berkuasa Tehran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN