SHAH ALAM: Rakyat digesa memainkan peranan sebagai benteng pertama negara untuk memelihara dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat bagi menghindari isu-isu sensitif termasuk bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
Ini kerana ancaman terhadap perpaduan datang dalam pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan, ekstremisme, penyalahgunaan media sosial yang menyebar kebencian dan ketegangan dalam komuniti akibat manipulasi isu-isu perkauman dan keagamaan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pemimpin politik juga perlu menunjukkan keteladanan yang tinggi dalam tutur kata dan tindakan serta mengutamakan keamanan negara melebihi kepentingan peribadi atau partisan.
“Kita mungkin tidak memegang senjata seperti anggota keselamatan, namun kita mempunyai kuasa sivil untuk membuat pilihan bijak, menolak kebencian dan menanam benih keamanan. Maka saya menyeru semua untuk bergerak ‘segulai sejalai’.
“Tidak ketinggalan ibu bapa juga memikul tanggungjawab besar dalam menyemai nilai murni, hormat-menghormati dan kasih saya kepada anak-anak, kerana asas perpaduan bermula dari institusi keluarga,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Townhall Keselamatan dan Perpaduan Negara 2025, hari ini.
Tambahnya, perpaduan nasional kini berdepan cabaran yang semakin kompleks berbentuk penyebaran maklumat palsu, polarisasi ideologi dan keterasingan sosial dalam era digital.
“Dalam usaha menangani isu-isu sensitif 3R, kerajaan mengambil pendekatan whole-of-government approach melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi secara bersepadu yang digerakkan secara penguatkuasaan serta intervensi, mediasi dan kesedaran.
“Penyediaan perkhidmatan mediasi melalui rangkaian 571 Mediator Komuniti di seluruh negara. Setakat 2024, sebanyak 215 kes diselesaikan di peringkat komuniti, sekali gus mengelakkan ia melarat ke peringkat perundangan,” jelasnya.
Katanya Aaron lagi, perpaduan tidak hanya perlu dilindungi undang-undang, bahkan mesti dipupuk melalui pendidikan, dialog dan interaksi yang berterusan. – UTUSAN