KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wani Kayrie enggan mengulas berkenaan isu salah seorang rakan baiknya yang didakwa terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, baru-baru ini.
Menurut Wani, dia juga tidak mengetahui sebarang perincian lanjut mengenai isu berkenaan memandangkan dirinya berdepan dengan masalah kesihatan sewaktu isu itu hangat diperkatakan.
“Sewaktu isu itu tular saya sedang berada di hospital kerana mengalami masalah kesihatan. Jadi saya rasa saya tiada hak untuk mengulas lebih-lebih tentang isu ini kerana tidak tahu kesahihannya,” katanya kepada Utusan Malaysia
Mengakui simpati dengan nasib yang menimpa rakan baiknya, Wani memberitahu dirinya hanya mampu memberi ruang kerana enggan menimbulkan sebarang kekusutan terhadap mereka yang terpalit.
“Apabila beberapa nama rakan saya dipetik, sudah tentu terbit rasa bimbang akan keadaan mereka. Bukan mahu menyokong, tetapi kami bersimpati.
“Selebihnya saya rasa lebih elok memberi mereka ruang untuk bertenang. Betul, kami rapat. Tetapi tidak semestinya kami kerap berhubung. Saya sekadar bertanya sama ada mereka okay atau tidak.
“Apabila bertemu dengan rakan-rakan yang lain pun kami tidak membahasnya kerana belum tahu kebenarannya,” jelasnya.
Ditanya responsnya apabila nama Afieq Shazwan turut dipetik, Wani tidak melatah sebaliknya memaklumkan bahawa rakan baiknya itu ada bersamanya ketika dikejarkan ke hospital.
Malah, penyanyi lagu Cak Cak Cekuk itu sempat menitipkan nasihat agar orang ramai berhenti menghakimi seseorang itu selagi kesahihannya belum terbukti.
“Saya tidak terkejut apabila nama Afieq dipetik kerana ketika itu dia ada bersama saya sewaktu saya ditahan wad. Kami juga banyak meluangkan masa bersama dengan bersukan sepanjang isu itu berlaku.
“Saya percaya setiap individu ada pendirian masing-masing. Tak kisah artis atau orang biasa, jika mereka salah berikan mereka ruang.
“Kalau betul benda itu salah, biar mereka sendiri sedar akan kesalahan dia. Selebihnya biar pihak berkuasa yang tentukan,” katanya.
Sejak minggu lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita seorang penyanyi dan pelakon lelaki telah ditahan polis kerana terlibat dengan kes amang seksual yang melibatkan remaja perempuan berusia 17 tahun.
Antara nama penyanyi yang dipetik adalah Naim Daniel dan Afieq Shazwan.-UTUSAN