SEREMBAN: Matrix Concepts Holdings Berhad melancarkan Pusat Pandu Lalu KITARecycle di d’Tempat Country Club di sini, hari ini sebagai usaha memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chai Keng Wai berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar pusat kitar semula biasa, malah satu langkah menyemai budaya pengurusan sisa bertanggungjawab dalam kalangan penduduk setempat.
Katanya, program itu turut disokong strategik oleh SWM Environment, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan KlothCare.
“Melalui program ini, kami mahu menjadikan kitar semula satu rutin mudah, bermanfaat serta berbaloi melalui sistem ganjaran dalam aplikasi KITARecycle yang membolehkan pengguna menebus mata kepada wang tunai,” katanya sempena majlis pelancaran program tersebut di d’Tempat Country Club, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri, J. Arul Kumar; Pengarah Eksekutif Kumpulan Matrix, Kelvin Lee Chin Chuan; Pengurus Besar Korporat SWM, Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengasas KlothCare, Sarah Kedah.
Keng Wai berkata, pihaknya menyasarkan kutipan 50 tan bahan kitar semula dalam tempoh 12 bulan pertama serta memperluaskan kemudahan melalui tong satelit di kawasan perbandaran Matrix di Lembah Klang dan Johor.
Sementara itu, Arul Kumar menyambut baik langkah Matrix sebagai projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang wajar dicontohi pemaju lain.
“Kita galakkan lebih banyak pemaju sediakan kemudahan seperti ini. Ia bukan sahaja mesra alam, malah menglibatkan komuniti secara langsung,” katanya.
Difahamkan, pusat KITARecycle itu merupakan kemudahan ketujuh dikendalikan SWM, dengan rekod pungutan mencecah 724 tan tahun lalu dan lebih 306 tan dalam empat bulan pertama tahun ini sahaja. – UTUSAN