770 tan barangan kitar semula berjaya diselamatkan sejak 2018 - Utusan Malaysia

770 tan barangan kitar semula berjaya diselamatkan sejak 2018

J. ARUL Kumar (tengah) Ho Dee Leong (kanan) serta Khairul Anwar (kiri) pada Majlis Pelancaran Pusat Pandu Lalu KITARecycle Coca-Cola di Bandar Enstek, Nilai hari ini. UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 770 tan barangan kitar semula berjaya diselamatkan daripada dihantar ke pusat pelupusan sampah di negeri ini dari tahun 2018 sehingga bulan September lalu.

Ia menerusi pelaksanaan program kitar semula berganjaran iaitu KITARecycle yang dijalankan oleh syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment)

Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong berkata, antara barangan kitar semula tertinggi yang berjaya dikumpulkan menerusi program tersebut termasuklah kertas, plastik, logam dan barangan elektronik.

“Program KITARecycle telah berjaya mengumpulkan barangan kitar semula sebanyak 769,633 kilogram (kg) sejak bulan September 2018 hingga September tahun ini. 

“Antara barangan kitar semula tertinggi yang berjaya dikumpulkan daripada program ini adalah kertas sebanyak 195,835kg, plastik (66,401kg), logam (17,934kg) dan barangan elektrik serta elektronik (7,250kg). Sehingga bulan September ini juga, sudah terdapat seramai 8,858 ahli KITARecycle di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Pandu Lalu KITARecycle Coca-Cola di Bandar Enstek, Nilai di sini hari ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar dan turut dihadiri oleh Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi Dan Kelestarian, Coca-Cola Bottlers Malaysia-Singapura-Brunei, Khairul Anwar Ab. Gahani. 

De Leong sementara itu berkata, pihaknya dan Coca-Cola Bottlers Malaysia-Singapura-Brunei telah bekerjasama dalam menyediakan fasiliti kitar semula iaitu Pusat Pandu Lalu KITARecycle Coca-Cola bagi memajukan kelestarian alam sekitar dan membantu mencapai matlamat pembangunan lestari di kawasan perumahan di Nilai.

“Sebanyak empat buah lokasi fasiliti Pusat Pandu Lalu KITARecycle Coca-Cola disediakan di kawasan Nilai iaitu di Jentayu@Enstek, Laman Mawar, Cempaka Seri 1 dan Cempaka Seri 2 yang terletak di kawasan perumahan Kota Seriemas.

“Penyediaan fasiliti ini disediakan adalah bagi memupuk kesedaran yang tinggi dalam masyarakat berkenaan pengurusan sisa domestik, pengasingan sisa pepejal di punca dan membudayakan amalan pengurusan sisa kitar semula di dalam kehidupan seharian. 

“Menerusi peningkatan fasiliti kitar semula, dijangkakan kadar kitar semula bahan buangan akan meningkat secara signifikan, mengurangkan jumlah bahan buangan yang masuk ke tapak pelupusan sampah,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya