Pusat industri perikanan bertaraf dunia bernilai RM2 bilion di Bagan Datuk - Utusan Malaysia

Pusat industri perikanan bertaraf dunia bernilai RM2 bilion di Bagan Datuk

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) merasmikan Majlis Prapelancaran Taman Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pusat industri perikanan bertaraf dunia bernilai RM2 bilion bakal dibangunkan di daerah ini, yang dijangka menawarkan kira-kira 5,500 peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk tempatan.

Projek diberi nama Taman Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk (BDIFIP) akan dibangunkan secara berperingkat selama enam tahun, bermula 2027 hingga 2033.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia akan dibangunkan di atas tanah milik Menteri Besar Incorporated (Perak) (MB Inc) seluas 126.4 hektar di wilayah Baroh, Hutan Melintang, dekat sini.

“Saya secara peribadi akan memantau pelaksanaan dan kemajuan projek ini bagi memastikan ia benar-benar berjaya,” katanya ketika merasmikan majlis prapelancaran BDIFIP di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Utara negeri, Loh Sze Yee, mewakili Menteri Besar Perak dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Anuar Zainal Abidin.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara MB Inc dan Younchang Engineering & Construction (M) Sdn. Bhd. serta sesi menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Younchang Engineering (M) Sdn. Bhd. dan MingCheng Group Co. Ltd.

MB Inc dan dua syarikat tersebut terlibat secara langsung dalam projek tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata daerah itu telah lama dikenali sebagai salah satu pusat pendaratan ikan terbesar di Perak.

Katanya, di kawasan Hutan Melintang sahaja mencatatkan lebih 400 buah kapal dan bot nelayan yang beroperasi aktif setiap hari, menjadikan kawasan ini antara penyumbang terbesar kepada hasil laut di negara.

Justeru, beliau berharap pelaksanaan BDIFIP dapat membangunkan lebih banyak industri hiliran di daerah itu, sekali gus memberikan keberhasilan tinggi kepada ekonomi negara dan setempat.

Beliau tidak mahu industri perikanan di daerah tersebut hanya mengeksport hasil laut mentah semata-mata, sebaliknya mahu lebih ramai penglibatan penduduk tempatan dalam bidang tersebut.

Katanya, syarikat terlibat boleh diberikan lesen memproses hasil laut manakala penangkapan ikan laut dalam perlu dikekalkan hanya kepada rakyat tempatan.

Beliau berkata, jika Jabatan Perikanan tidak dapat memberikan lesen penangkapan ikan laut dalam kepada individu tempatan yang mungkin kedudukan kewangan agak lemah, maka ia perlu diberikan kepada MB Inc.

Katanya, ia bagi membolehkan MB Inc mengenal pasti mereka yang mempunyai potensi untuk diberikan sewaan lesen itu manakala beliau akan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk memberikan bantuan atau pinjaman kewangan kepada nelayan-nelayan terlibat.

Beliau berkata, kaedah itu akan memberi keseimbangan di antara penyertaan penduduk tempatan yang memberikan bekalan hasil laut untuk kilang berkaitan.

“Kita sebagai rakyat Malaysia khususnya di Perak, tidak hanya melihat ianya di atas kertas atau di ‘awan-awangan’ dan hanya bekerja dalam sektor yang rendah, dengan gaji minimum RM1,700 sebulan.

“Saya tidak mahu itu berlaku. Saya mahu rakyat Perak terutama di Bagan Datuk diberikan peluang pekerjaan dan keutamaan untuk bekerja di kilang ini,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN