GEORGE TOWN: Pulau Pinang kini dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang menjadi antara inisiatif mobiliti lestari utama di negeri tersebut.
Usaha berkenaan termasuklah menerusi lawatan rasmi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ke Switzerland dan Austria bermula hari ini.
Lawatan kerja selama seminggu itu dianjurkan dua pemain industri utama dalam bidang pembuatan kereta kabel iaitu syarikat tempatan, Hartasuma Sdn. Bhd. dan syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Austria iaitu Doppelmayr.
Jurucakap Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, lawatan itu bertujuan meneliti teknologi serta amalan terbaik yang diguna pakai dalam pembinaan sistem pengangkutan cerun bertaraf dunia.
“Menerusi lawatan ini, delegasi rasmi negeri akan berkunjung ke beberapa syarikat antarabangsa terkemuka yang membekalkan komponen utama untuk projek berkenaan termasuk syarikat Doppelmayr Seilbahnen GmbH di Wolfurt, Austria serta Fatzer AG yang membekalkan sistem tali kereta kabel di Romanshorn, Switzerland.
“Syarikat lain yang akan dilawat termasuk Garaventa AG iaitu pembekal sistem funikular di Goldau (Switzerland) dan CWA Constructions SA iaitu syarikat yang menghasilkan kabin gondola di Olten, juga di Switzerland.
“Lawatan ini penting bagi memahami kejuruteraan canggih, prosedur operasi serta piawaian keselamatan ketat yang menjadi asas sistem kereta kabel antarabangsa. Ia juga bagi memastikan pembangunan infrastruktur Bukit Bendera menepati penanda aras global yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kon Yeow juga dijadual bertemu dengan Datuk Bandar Bettmeralp serta wakil syarikat Aletsch Bahnen AG di Raron, Switzerland dalam lawatan kerja terbabit.
“Bettmeralp merupakan sebuah perkampungan bebas kenderaan yang hanya boleh diakses melalui kereta kabel dan pertemuan ini dijangka membuka peluang kerjasama dalam aspek pelancongan tanah tinggi serta pengangkutan lestari,” katanya yang memberitahu, kerajaan negeri komited untuk melaksanakan projek berkenaan ketika ini.
Majlis perasmian dan pecah tanah untuk projek kereta kabel itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Botani di sini, pada pertengahan tahun lepas.
Jajaran kereta kabel itu bermula dari stesen Taman Ekonomi yang sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang sehingga ke puncak yang terletak di belakang Balai Polis Bukit Bendera.
Laluan kereta kabel ini pula adalah sepanjang 2.73 kilometer (km) dan akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk dengan masa perjalanan yang dianggarkan kurang daripada 10 minit. – UTUSAN