Pulang dari Mekah dengan berjalan kaki

Pulang dari Mekah dengan berjalan kaki

MOHAMAD Al-Bukhari Ellia (kanan) dan Mohamad Azizul Abdullah (kiri) kembali ke tanah air tidak lama lagi setelah menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Dua rakyat Malaysia yang berjalan kaki ke Mekah sejak Disember lalu untuk menunaikan haji, selesai menunaikan ibadah tersebut dan kini dalam perjalanan pulang ke tanah air.

Mohamad Al-Bukhari Ellia, 28, dan sahabatnya, Mohamad Azizul Abdullah, 34, membuat keputusan untuk sekali lagi akan berjalan kaki pulang kampung halaman mereka di Kampung Changkat Lobak di sini.

Namun mereka merancang untuk berjalan kaki dari sempadan Thailand-Malaysia di Bukit Kayu Hitam, melalui jalan yang sama ketika mereka berjalan kaki ke Mekah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Mohamad Al-Bukhari, dia dan Mohamad Azizul dijangka tiba di Bangkok, Thailand pada 17 atau 18 Jun ini, seterusnya menaiki penerbangan ke Hatyai. 

Katanya, dari Hatyai mereka akan ke Bukit Kayu Hitam dan dari situ mereka mula berjalan kaki sejauh kira-kira 270 kilometer melalui Jalan Persekutuan hingga ke kampung mereka di sini.

“Kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki balik ke kampung kerana kami mahu singgah semula di lokasi-lokasi yang pernah kami singgah semasa dalam perjalanan ke Mekah di samping menjejaki semula lokasi yang pernah menjadi tempat kami tidur, makan, berehat dan menerima bantuan daripada orang ramai ketika ke Mekah.

“Selain itu, kami juga mahu bertemu semula dengan individu yang pernah menghulurkan bantuan kewangan dan sokongan moral kepada kami bagi menyampaikan ucapan terima kasih  kepada mereka.

“Bantuan dan sokongan moral mereka dan rakyat Malaysia sangat bermakna buat kami, tanpa mereka misi ini tidak akan berjaya. Jadi, perjalanan balik ini sebagai tanda kami menghargai jasa dan sokongan semua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, dia melahirkan perasaan syukur kerana dapat menunaikan ibadat haji

“Alhamdulillah, kami telah selesai mengerjakan haji. Sekarang kami mahu berkongsi rasa syukur bersama rakyat Malaysia, khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam misi kami berjalan kaki ke Mekah,” katanya.

Pada 1 Disember tahun lalu, mereka berjalan kaki ke Mekah dari Masjid Jamek Kampung Changkat Lobak, menempuh laluan Jalan Persekutuan sehingga ke sempadan Bukit Kayu Hitam sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai dan kemudian menaiki penerbangan dari Bangkok ke India.

Seterusnya menyambung perjalanan ke Pakistan dengan berjalan kaki, kemudian menaiki penerbangan ke Dubai dan seterusnya ke Madinah.

Misi itu yang mendapat perhatian orang ramai kerana menempuh lebih 8,000 kilometer dalam masa 113 hari dan tiba di Madinah pada 24 Mac lalu untuk mengerjakan umrah dan disusuli menunaikan haji.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini