Polisi Pendigitalan Data, elak perkongsian data bertindih, selamat

Polisi Pendigitalan Data, elak perkongsian data bertindih, selamat

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara (JDN) dijangka mengeluarkan Polisi Pendigitalan Data selewat-lewatnya Julai ini bagi menyokong penguatkuasaan Akta Perkongsian Data 2025 [Akta 864].

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, beliau telah memberi masa selama tiga bulan kepada JDN untuk memperincikan polisi berkenaan sebelum cadangan tersebut dibentangkan ke Kabinet.

“Jadi saya telah memberikan masa tiga bulan kepada JDN, saya tahu mereka dalam proses (memperincikan polisi) dan saya harap kalau bukan dalam bulan ini, ia dalam bulan Julai.

“Dan saya akan bentangkan cadangan-cadangan tersebut ke Kabinet selepas itu,” katanya menerusi sidang akhbar pada Mesyuarat Jawatankuasa Perkongsian Data Negara Bilangan 1 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Akta 864 secara rasmi berkuat kuasa pada 28 April lalu yang menyediakan kerangka undang-undang berstruktur bagi perkongsian data yang selamat dan efisien antara kementerian serta agensi Kerajaan Persekutuan.

Terdahulu menerusi ucapannya, Gobind berkata, polisi tersebut akan menekankan kepentingan pelaksanaan pendigitalan data dalam penyampaian perkhidmatan yang merangkumi aspek tadbir urus kualiti data, etika keselamatan data, penggunaan teknologi penyimpanan dan penggunaan data serta pembudayaan digital dalam urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan.

Jelasnya, polisi berkenaan juga bukan sahaja dilaksanakan di peringkat agensi Persekutuan, tetapi akan dipanjangkan pelaksanaannya di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi menjamin kualiti dalam perkongsian data ke arah penggubalan dasar yang tepat oleh kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

“Perkongsian data antara agensi dapat mengelak pertindihan usaha pengumpulan data yang membawa kepada penjimatan kos dan peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti seterusnya meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

“Data yang dikongsi membolehkan perancangan dan pelaksanaan dasar dibuat berdasarkan maklumat sahih dan terkini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap di peringkat kerajaan negeri juga dapat menggubal undang-undang serupa bagi membolehkan proses perkongsian data berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN