WALAUPUN lapan dekad berlalu, peristiwa ngeri menjadi mangsa dalam serangan bom atom di Hiroshima masih segar di ingatan Bae Kyung-Mi.
Dia berusia lima tahun ketika Amerika Syarikat (AS) menjatuhkan bom atom Little Boy yang memusnahkan bandar di Jepun itu pada 6 Ogos 1945.
Seperti ribuan etnik Korea lain yang bekerja di Hiroshima ketika itu, keluarganya menyimpan kisah ngeri tersebut sebagai rahsia.
Ini kerana, ramai yang takutkan stigma kerana melakukan kerja buruh paksa untuk penjajah Jepun, serta khabar angin palsu kononnya penyakit akibat radiasi boleh berjangkit.
Kyung-Mi, 85, masih ingat bunyi kapal terbang di udara ketika bermain di rumahnya di Hiroshima pada hari tersebut.
Beberapa minit kemudian, dia tertimbus di bawah runtuhan.
“Saya beritahu ibu dalam bahasa Jepun ada kapal terbang, sebelum pengsan tidak lama kemudiaan,” katanya kepada AFP.
Rumahnya runtuh dan menimpa tubuh Kyung-Mi, tetapi runtuhan tersebut melindunginya daripada melecur seperti puluhan ribu mangsa lain termasuk ibu dan bapa saudaranya yang terkorban.
Selepas keluarganya pulang ke Korea Selatan, mereka tidak pernah bercakap mengenai pengalaman tersebut.
“Saya tidak pernah beritahu suami yang saya pernah tinggal di Hiroshima dan menjadi mangsa pengeboman.
“Ketika itu, orang ramai sering berkata anda berkahwin dengan orang yang salah jika dia merupakan mangsa pengeboman atom,” katanya.
Dua anak lelakinya hanya mengetahui mengenai perkara itu apabila mendaftar di sebuah pusat khas yang ditubuhkan pada 1996 di Hapcheon, Korea Selatan, untuk mangsa pengeboman tersebut.
Dia bimbang anak-anaknya menghidap penyakit berkaitan radiasi yang pernah menimpanya, termasuk pembedahan membuang ovari dan payudara akibat risiko kanser.

TANGGUNG DISKRIMINASI
Kyung-Mi tahu punca dirinya sering sakit, tetapi tidak pernah memberitahu keluarga sendiri.
Kira-kira 740,000 orang terbunuh atau cedera dalam pengeboman berkembar di Hiroshima dan Nagasaki.
Lebih 10 peratus daripada mangsa dipercayai rakyat Korea, hasil daripada penghijrahan besar-besaran ke Jepun ketika negara itu menjajah Semenanjung Korea.
Mangsa yang terus tinggal di Jepun terpaksa menanggung diskriminasi sebagai mangsa bom atom atau hibakusha dan juga rakyat Korea.
Ramai warga Korea juga terpaksa memilih antara kumpulan pro-Pyongyang dan pro-Seoul di Jepun, selepas semenanjung negara itu dibahagikan akibat Perang Korea 1950-1953.
Kumpulan Korea menganggarkan sehingga 50,000 rakyatnya mungkin berada di bandar itu pada hari pengeboman berlaku, termasuk puluhan ribu yang bekerja sebagai buruh paksa di tapak tentera.
Bagaimanapun, rekod yang ada tidak lengkap.
“Pejabat bandar musnah sepenuhnya, jadi mustahil untuk mengesan rekod secara tepat,” kata seorang pegawai Hiroshima kepada AFP.
Dasar penjajahan Jepun yang mengharamkan penggunaan nama Korea turut menyukarkan lagi penyimpanan rekod.
Selepas serangan itu, puluhan ribu mangsa terselamat warga Korea berpindah kembali ke negara mereka yang baru mencapai kemerdekaan.
Namun, ramai yang terus berdepan masalah kesihatan dan stigma sehingga hari ini.
“Pada masa itu, wujud khabar angin tidak berasas kononnya pendedahan kepada radiasi boleh berjangkit,” kata Pengarah Pusat Mangsa Bom Atom Hapcheon di Korea, Jeong Soo-won.
Secara keseluruhan, dianggarkan masih terdapat kira-kira 1,600 mangsa terselamat Korea Selatan yang masing hidup, dengan 82 daripadanya tinggal di pusat itu, katanya.









