Polis tunggu laporan perubatan guru hina kematian pelajar UPSI

Polis tunggu laporan perubatan guru hina kematian pelajar UPSI

NOOR Hisam Nordin (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak antara Mohammad Azlin Sadari  (kanan) dan Zulkafli  Sariaat (kiri) di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis sedang menunggu laporan perubatan bagi melengkapkan siasatan kes seorang guru membuat hantaran jelik di media sosial berkaitan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Gerik, minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sebaik sahaja laporan tersebut diperoleh.

Katanya, setakat ini, rakaman percakapan guru terbabit telah diambil dan telefon bimbitnya turut dirampas untuk siasatan.

“Siasatan kes ini hampir selesai dan kita hanya menunggu laporan perubatan dari Hospital Seri Manjung sebelum kertas siasatan itu dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“(Laporan perubatan) itu kemungkinan besar melibatkan aspek psikiatri atau lebih kepada keadaan emosi dan tingkah laku, sebab itu dia bertindak seperti yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Noor Hisam menyempurnakan pemakaian pangkat Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari, 52, yang menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu.

Mohammad Azlin yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Biro Jenayah Hidupan Liar) Bukit Aman menggantikan Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat yang bersara wajib pada 23 Jun depan.

Dalam pada itu, Noor Hisam memberitahu, enam individu termasuk tiga pelajar UPSI yang cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran pada 9 Jun lalu itu masih menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, seorang pelajar kini dirawat di Hospital Kuala Terengganu manakala dua lagi pelajar pula menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

“Selain itu, tiga penumpang Perodua Alza yang turut cedera membabitkan seorang ibu dan dua anak berusia enam dan tiga tahun kini dirawat di Hospital Baling, Kedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN