Polis sahkan tiga rakyat Malaysia ditahan di Laos

Polis sahkan tiga rakyat Malaysia ditahan di Laos, seludup 103 bungkusan ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga orang rakyat Malaysia di Laos ditangkap selepas dipercayai cuba menyeludup 103 bungkusan ganja pada 27 Mei lalu. 

Mengesahkan perkara itu, Pemangku Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 hingga 29 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Loas selepas tiba di negara terbabit menaiki penerbangan Thai Airways. 

Katanya, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mereka meninggalkan tanah air pada 22 Mei lalu. 

“Bagaimanapun kami sedang menyiasat ketiga-tiga suspek menyeludup ganja dari negara ini atau Thailand.  Mereka kini dalam tahanan pihak berkuasa Laos. Kami sedang mengumpul maklumat dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan tindakan seorang penyanyi rap tempatan dalam cubaan menyeludup 103 bungkusan ganja bersama dua rakannya yang lain berakhir dengan kegagalan apabila ketiga-tiga mereka kini ditahan oleh pihak berkuasa Laos. 

Difahamkan, penyanyi yang juga anggota sebuah kumpulan rap tanah air itu ditahan sejak   27 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay selepas disyaki cuba menyeludup dadah tersebut ke Jerman.

Menerusi satu laporan di Laos, dalam satu operasi melibatkan pegawai kastam, penguat kuasa lapangan terbang dan agensi berkaitan lain, ketiga-tiga individu itu ditahan semasa pemeriksaan rutin dijalankan. 

Hasil pemeriksaan terhadap enam beg milik suspek, pihak berkuasa menemukan 103 bungkusan ganja yang disembunyikan di dalam bagasi mereka, dengan jumlah keseluruhan kira-kira 86 kilogram.

Difahamkan, suspek sedang bersiap sedia untuk menaiki penerbangan Thai Airways menuju ke Jerman di mana dadah tersebut dipercayai akan dihantar.

Pihak berkuasa Laos mengesahkan bahawa ketiga-tiga suspek kini ditahan dan akan didakwa mengikut prosedur undang-undang Laos dengan siasatan masih diteruskan.

Difahamkan, rampasan tersebut menyusuli beberapa insiden penyeludupan dadah yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay kebelakangan ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN