PETALING JAYA: Polis kini sedang mengesan seorang wanita disyaki mencuri telefon pintar di sebuah premis perniagaan di Kajang dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perbuatan wanita terbabit berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
“Polis sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan Jumaat lalu yang dibuat wanita tempatan berusia 20 tahun yang bekerja di premis itu.
“Berdasarkan laporan mangsa memaklumkan telefon pintar miliknya jenis Huawei Nova 5G yang diletakkan di atas meja kaunter hilang dan dipercayai dicuri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, hasil semakan rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita mengambil telefon bimbit berkenaan ketika mangsa sedang bertugas di kaunter.
Susulan itu, beliau turut menasihati suspek terbabit untuk menyerah diri di balai polis berhampiran.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ammar Mohd. Tahir di talian 018-2586153,” katanya. – UTUSAN