KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dokumen peribadi milik mayat yang ditemui dalam ruang lif di tapak pembinaan di Bangsar, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pasukan penyiasat masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan menyemak rakaman CCTV bagi mencari petunjuk.
“Kita juga sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Proses bedah siasat terhadap mayat sedang dijalankan di Patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Proses bedah siasat sedang dijalankan di Patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Keluarga warga Britain, Jordan Johnson-Doyle, 25, yang dilaporkan hilang sejak 27 Mei lalu, telah tiba untuk pengecaman mayat.
Kenyataan rasmi mengenai hasil bedah siasat dan pengecaman akan dikeluarkan selepas semua prosedur selesai.
Polis turut menyeru orang ramai berhenti membuat spekulasi berkaitan kes berkenaan.
Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di bahagian ruang lif sebuah bangunan dalam pembinaan di Bangsar di sini, kira-kira pukul 5 petang.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Britain dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mengembara secara berseorangan di ibu negara sejak 27 Mei lalu.
Jordan yang berusia 25 tahun kali terakhir dilihat di sebuah premis hiburan di kawasan Bangsar.
Jordan dipercayai tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas menjelajah beberapa negara di Asia Tenggara dan menetap sementara di sebuah residensi di sekitar Bukit Bintang. – UTUSAN