PUTRAJAYA: Poland bersedia berkongsi kepakaran dan pengalaman ketenteraanya dengan Malaysia, khususnya dalam pelaksanaan misi keamanan antarabangsa yang telah dilaksanakan selama beberapa dekad di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presiden Poland, Andrzej Duda berkata, negaranya mempunyai pengalaman luas dalam misi pengaman, termasuk penyertaan tenteranya di Lubnan ketika waktu-waktu paling mencabar, tanpa sebarang penarikan pasukan.
“Kami benar-benar berpengalaman dalam hal ini dan sedia membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penyediaan, latihan dan segala aspek yang penting.
“Ia bukan sahaja untuk menyertai misi seumpama itu, tetapi juga bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan selamat,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia yang merupakan lawatan Presiden Poland pertama dalam tempoh 26 tahun di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyatakan komitmen Poland untuk memperkukuh lagi kerjasama dalam sektor pertahanan, termasuk memperluaskan kehadiran industri persenjataan Poland di Malaysia.
Menurut Andrzej, Poland ketika ini memperuntukkan sebanyak 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pemodenan teknikal angkatan tenteranya, pelaburan besar yang memperlihatkan hala tuju strategik negara tersebut dalam pertahanan moden.
“Saya berbangga kerana produk industri pertahanan Poland seperti WB Electronics kini sudah pun digunakan oleh ATM. Kami juga mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dalam bidang ini dan berharap ia akan terus diperkukuh pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput Anwar untuk melakukan lawatan rasmi ke Warsaw dalam usaha mempererat hubungan dua hala, termasuk menjalin kerjasama baharu dalam bidang ekonomi, teknologi hijau, tenaga dan infrastruktur.
Beliau turut menggalakkan Perdana Menteri untuk menarik pelabur Malaysia meneliti peluang pelaburan di Poland kerana pihaknya menawarkan pelbagai bentuk sokongan kepada pelabur asing, termasuk geran, pengecualian cukai, bantuan modal, pinjaman bersubsidi, dan latihan tenaga kerja mahir.
“Pasaran Poland mempunyai pelbagai peluang pelaburan. Saya turut mengajak Perdana Menteri melihat rantau Eropah Tengah secara lebih luas, termasuk dengan meneroka kerjasama melalui Inisiatif Tiga Lautan (Three Seas Initiative) dalam pembangunan infrastruktur, khususnya dalam komunikasi dan tenaga,” katanya.
Mengulas hubungan ekonomi, beliau menyatakan hasrat untuk meningkatkan lagi eksport produk Poland ke Malaysia, termasuk produk makanan seperti tenusu dan daging, serta membuka peluang pelaburan kepada syarikat Malaysia meneroka pasaran Poland.
Andrzej turut menzahirkan harapan agar proses penyertaan Poland ke dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC) dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Ia sekali gus menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat dengan negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia. – UTUSAN