LUMUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka merasmikan Program Madani Rakyat (PMR) peringkat Perak yang akan diadakan di sini pada 13 hingga 15 Jun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, berkata program selama tiga hari itu akan diadakan di Lumut Waterfront dan terbuka kepada orang ramai.
“Tahun ini, program PMR berskala besar hanya diadakan dua kali sahaja iaitu di Tawau, Sabah, bulan lalu, dan di sini pada pertengahan bulan ini, selain program berskala kecil yang diadakan di seluruh negara.
“Oleh itu, rakyat Perak khususnya di daerah Manjung, bertuah kerana Lumut dipilih untuk program skala besar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan PMR dan Karnival Kita Madani di Taman Samudera, Seri Manjung, di sini hari ini.
Beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri pada program itu nanti membolehkan beliau menyantuni dan mendekati rakyat serta mendengar keluhan dan luahan penduduk terhadap pelbagai isu semasa.
Dalam pada itu, Nik Kamaruzaman berpuas hati dengan PMR yang diadakan di Taman Samudera hari ini kerana mencapai sasaran lebih 1,000 pengunjung dan peserta yang hadir.
Katanya, program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perak itu merupakan usaha memperluas pemahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan menerusi pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan masyarakat.
Antara pengisian utama karnival termasuk Jualan Rahmah dan Agro Madani, pameran serta penyampaian perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma dan pertandingan mewarna.
Turut diadakan sukan rakyat, kenduri rakyat serta menghimpunkan pesilat dari 10 perguruan yang membuat persembahan kepada tetamu yang hadir.
Sebanyak 21 agensi kerajaan dan swasta menyertai reruai pameran antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Konti Radio Perak FM turut mengadakan pameran.
Perkhidmatan mudah alih turut ditawarkan oleh beberapa agensi seperti Pejabat Daerah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung serta IM@JAPEN, memudahkan urusan secara langsung dengan masyarakat setempat. – UTUSAN