PKR Pontian lapor polis hantaran hina PM, Agong

PKR Pontian lapor polis hantaran hina PM, Agong

HANIFF@ Ghazali Hosman ( tengah ) menunjukkan laporan Polis yang oleh PKR Cabang Pontian di Balai Polis Pontian, di Pontian, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pontian membuat laporan polis berhubung satu hantaran berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, Perdana Menteri dan Institusi Diraja.

Ketua Cabangnya, Haniff@Ghazali Hosman berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Pontian malam tadi selepas pihaknya menerima maklumat mengenai hantaran di aplikasi Instagram oleh pemilik akaun ‘nxzmi osmxn’.

Katanya hantaran tersebut memaparkan gambar Ketua Polis Negara yang baharu disertakan dengan kenyataan menghina, memfitnah dan mengaibkan Perdana Menteri serta mengaitkan pelantikan KPN sebagai hasil lantikan politik kerana didakwa kononnya beliau adalah pemimpin tertinggi PKR.

“Kenyataan itu bukan sahaja menjatuhkan imej Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, malah turut memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila terdapat tuduhan berunsur lucah dan kata-kata kesat terhadap beliau.

“Lebih membimbangkan, kenyataan itu juga menyentuh Institusi Diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong dengan kata-kata yang sangat tidak sopan dan mengandungi unsur penghinaan serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menyifatkan tindakan itu amat keterlaluan serta berniat jahat, bukan sahaja menghina pemimpin negara, malah mampu mencetuskan ketegangan awam jika tidak dikawal.

Sehubungan itu, PKR Cabang Pontian menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

“Laporan ini dibuat demi mempertahankan maruah dan integriti institusi keselamatan, Perdana Menteri serta Yang di-Pertuan Agong daripada sebarang tohmahan, fitnah dan provokasi yang boleh menggugat ketenteraman negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN