RANTAU PANJANG: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) PGA menggagalkan cubaan menyeludup 10,000 anak pokok ceri Barbados dan bunga cengkih selepas menahan sebuah lori di hadapan Klinik kesihatan Gual Tinggi di sini semalam.
Menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 11 pagi itu, PGA turut menahan pemandu lori berusia 34 tahun untuk membantu siasatan berkaitan rampasan barangan yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori itu menjumpai 5,000 anak pokok ceri Barbados.
Menurutnya, turut ditemui 5,000 anak pokok bunga cengkih dan kedua-dua jenis anak pokok yang dis disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.
“Anggaran rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM400,000 dan kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Semua anak-anak pokok itu dipercayai dihantar ke sebuah nurseri untuk pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167).-UTUSAN