Petugas media Perak sertai program korban lembu sumbangan PM

Petugas media Perak sertai program korban lembu sumbangan PM

PENDUDUK melapah daging lembu korban di Masjid As-Syakirin, Kampung Kuang Hilir dekat Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Petugas media Perak turut menyertai program ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha menerusi sumbangan lembu korban Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Program diadakan dengan kerjasama jawatankuasa Masjid As-Syakirin, Kampung Kuang Hilir dalam kawasan Parlimen Tambun di sini bersama penduduk kampung tersebut.

Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak, Sayed Mohd. Hesham Syed Idris mengucapkan terima kasih di atas sumbangan lembu korban daripada Perdana Menteri khas untuk petugas media negeri ini.

Menurutnya, sumbangan tersebut menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap kebajikan petugas media yang berperanan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Sebahagian besar daging korban ini diagihkan di sekitar kawasan Tambun, manakala selebihnya kepada pengamal media Perak yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, wartawan, Abd. Razak Mohd. Ali berkata, sumbangan Perdana Menteri itu merupakan satu penghargaan dan semangat kebersamaan dengan petugas media di Perak.

“Sumbangan lembu korban ini sangat bermakna khususnya kepada golongan asnaf dan petugas media.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini, terutamanya Perdana Menteri dan Jawatankuasa Masjid As-Syakirin,” katanya.

Sumbangan kepada petugas media Perak merupakan antara 126 ekor lembu korban yang disumbangkan oleh Perdana Menteri untuk peringkat Parlimen Tambun bagi diagihkan kepada masjid dan surau kawasan tersebut sempena Aidiladha.

Semalam, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, bilangan lembu yang disumbangkan itu meningkat berbanding tahun lalu kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memastikan semua masjid dan surau dapat menjalankan ibadah korban.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN