Jamal Abdillah jual 100 ekor lembu korban

Jamal Abdillah jual 100 ekor lembu korban

JAMAL Abdillah menjual daging korban sempena Festival FAMA 2025  di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng, Perak, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah menerima tempahan 100 ekor lembu untuk sembelihan korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini menerusi ladang yang diusahakan di Bukit Merah.

Menurutnya, sejak memulakan perniagaan ternakan lembu iaitu Jamal Abdillah Farm (JAF) tiga tahun lalu, sambutan pembeli terhadap ternakan yang diusahakannya sangat menggalakkan.

“Sebanyak 100 ekor lembu saya telah habis ditempah menjelang Hari Raya Aidiladha. Harga purata seekor lembu RM5,950 dengan mengambil kira satu bahagian RM850 yang didarabkan dengan tujuh bahagian.

“Selain itu, setiap lembu ada kategorinya iaitu jenis A, B, C dan D. Alhamdulillah, sejak tiga tahun lalu sambutan yang diterima cukup menggalakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jamal, 66, menjual daging lembu dan bahagian lain haiwan itu sempena Festival FAMA 2025  di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng di sini semalam.

Katanya, daging lembu tempatan segar  dijual dengan harga RM32 sekilogram (kg).

“Sambutan yang diterima cukup baik selain saya ada menjual bahagian lain seperti daging batang pinang dengan harga RM39 satu kilogram, tulang gearbox (RM20 satu bahagian tulang), tulang lembu (RM32 sekilogram).

“Selain itu, tulang rusuk berharga RM34 sekilogram, kaki lembu (RM10 seunit), satu  kepala lembu sekitar RM60 hingga RM80 dan organ lembu pula dengan harga RM17 satu kilogram,” katanya.

Ujarnya, beliau turut menjual produk kopi segera dengan harga yang berpatutan pada festival itu.

Katanya, pendapatan daripada nyanyian merupakan antara punca suntikan modal perniagaannya yang merangkumi ternakan lembu, ikan arowana, produk kopi segera dan minyak wangi.

“Profesion utama saya masih lagi seorang penghibur (penyanyi) kerana ia merupakan karier sejak muda sehingga berkahwin. Selagi berkeupayaan dan masih larat akan terus bergelumang dengan dunia seni.

“Perniagaan ini banyak yang perlu difikirkan tidak macam menyanyi. Namun, ia sekiranya diuruskan dengan baik mampu memberi jaminan pada masa depan. Lagipun anak-anak ramai yang masih kecil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN