IPOH: Perak menjadi negeri pertama memperkenalkan kemudahan secara dalam talian untuk mengisi dan mencipta borang bagi kes-kes terpilih di Mahkamah Syariah dalam negeri ini.
Antara kes terpilih itu ialah permohonan perceraian persetujuan yang dipersetujui oleh kedua-dua suami dan isteri serta, tuntutan pengesahan lafaz cerai bagi pihak suami atau isteri yang menuntut pengesahan lafaz akibat menyebut, menaip atau apa-apa perkataan cerai di luar mahkamah.
Ketua Hakim Syarie dan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Datuk Ab. Rahman Thobroni Mohd. Mansor berkata, kemudahan itu yang dinamakan Modul Awam Elektronik Kehakiman Syariah Perak (eKSPerk) boleh diaskes menerusi laman web rasmi jabatannya.
Beliau percaya kemudahan akan membantu para pemohon menjimatkan masa dan kos kerana tidak perlu lagi menanggung pembayaran penyediaan borang oleh pihak ketiga.
Katanya, pada kebiasaan orang awam yang tidak menggunakan khidmat peguam, mereka akan menghadapi masalah untuk penyediaan dokumentasi termasuklah borang-borang yang dikehendaki mengikut undang-undang.
“Portal awam ini adalah satu templat yang memudahkan orang awam untuk memasukan maklumat dan juga fakta kes,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis apresiasi kecemerlangan 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Perak dan pelancaran sistem eKSPerk di sini hari ini.
Kes terpilih lain yang boleh menggunakan sistem tersebut ialah permohonan nikah bawah umur bagi pihak yang berumur kurang dari 18 tahun pada tahun semasa yang ingin memohon untuk mengadakan majlis pernikahan.
Permohonan wali hakim juga boleh menggunakan sistem tersebut bagi pihak perempuan yang ingin bernikah tetapi tiada wali akibat wali ghaib, tiada wali nasab, anak tak sah taraf atau mualaf. – UTUSAN