Pembangunan memorial beri implikasi negatif penduduk Kampung Raja Uda

Pembangunan memorial beri implikasi negatif penduduk Kampung Raja Uda

AZMIZAM Zaman Huri (hadapan, empat dari kanan) bersama beberapa penduduk Kampung Raja Uda memegang plakad bantahan bagi membantah cadangan pembinaan memorial di Ibu Pejabat MBDK, Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penduduk Kampung Raja Uda mengesa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menolak cadangan sebuah syarikat bagi membina sebuah bangunan memorial empat tingkat, yang dipercayai tempat menguruskan dan penyimpanan abu mayat di kampung berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, majoriti penduduk kampung tersebut membantah keras cadangan pembinaan bangunan itu kerana dikhuatiri memberikan beberapa implikasi negatif kepada masyarakat Kampung Raja Uda.

“Dikhuatiri projek ini akan menimbulkan masalah kesesakan trafik memandangkan tapak memorial itu dibina betul-betul di tepi Persiaran Raja Muda Musa. Jalan tersebut adalah laluan utama penduduk Kampung Raja Uda untuk bandar Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Sekiranya ada upacara keagamaan di bangunan itu, pastinya banyak kenderaan lalu-lalang serta akan meletakkan kenderaan di bahu jalan Persiaran Raja Muda Musa. Situasi ini sekaligus akan menyebabkan berlakunya kesesakan trafik di kawasan berkenaan,” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan pembinaan bangunan memorial itu kepada Timbalan Datuk Bandar MBDK, Mohd. Zary Affendi Mohd. Arif di ibu pejabat MBDK, di sini, hari ini.

Malah menurutnya, sekiranya pihak majlis meluluskan pembinaan bangunan itu, dikhuatiri rumah penduduk yang berdekatan akan mengalami keretakan dinding rumah yang serius akibat kerja memasang cerucuk sebagai tiang bangunan memorial.

Azmizam berkata, semakan yang dibuatnya dalam sistem Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang mendapati tanah kawasan bangunan itu adalah berada dalam Zon Perumahan dan Perniagaan Terhad di bawah Rancangan Tempatan MBDK 2035.

“Hal ini sekaligus bertentangan dengan syarat nyata tanah yang mana, tanah tersebut hanya boleh digunakan untuk membuat kediaman.

“Jadi saya harap MBDK dapat mempertimbangkan bantahan yang dibuat oleh penduduk. Isu ini bukan isu perkauman tetapi isu yang boleh menjejaskan ketenteraman penduduk Kampung Raja Uda,” tegasnya.

Sementara itu, Mohd. Zary Affendi berkata, MBDK telah menerima lebih 500 notis bantahan bertulis daripada penduduk kampung itu berhubung cadangan pembinaan memorial tersebut dan pihaknya akan mengadakan mesyuarat bantahan untuk mendengar maklum balas daripada pihak syarikat dan wakil penduduk dalam tempoh dua minggu lagi.

“Segala maklumat daripada mesyuarat bantahan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) untuk pertimbangan lanjut. Kita akan nilai semua aspek termasuk aspek sosial, sensitiviti penduduk, lalu lintas, zon penempatan dan lain-lain sebelum apa-apa keputusan dibuat,” ujarnya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan penduduk Kampung Raja Uda membantah pembinaan bangunan memorial itu, dengan mengadakan demonstrasi aman di hadapan tapak projek bangunan itu, Jumaat lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN